KOTA BHARU, 19 Dis 2019,
Walaupun industri francais negara telah mencapai satu tahap membanggakan termasuk lahirnya jenama tempatan terkenal yang berjaya ke persada antarabangsa, namun Perbadanan Nasional (PNS) berpendapat potensi industri francais tempatan masih luas untuk diterokai.
Ketua Pegawai Operasi (Sokongan Perniagaan) PNS, Azlina Juliani Abd Jalil berkata, bertepatan dengan program Bizfrancais@Kelantan, ia menandakan satu lagi inisiatif pihaknya dalam bentuk kerjasama bersama rakan strategik untuk menjana pertumbuhan ekonomi seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan terutamanya bidang francais, khususnya di negeri ini.
Menurutnya, kerjasama tersebut dilihat bertepatan pada waktunya bagi membantu rakyat tempatan meningkatkan pendapatan selain dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan francais tempatan.
“Inisiatif ini juga jelas menunjukkan sokongan padu PNS, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terhadap pembangunan usahawan khususnya di dalam bidang francais.
“Ia juga bukan hanya menumpukan kepada pembangunan ekonomi semata- mata malahan juga aspek pembangunan sosial masyarakat di Kelantan. Ia juga seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional ke arah ”Negara Keusahawanan Unggul 2030” yang telah dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya.
Program Bizfrancais@Kelantan yang berlangsung di UMK Kampus Kota hari ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.
Sumber: Sinar Harian
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/60904/BISNES/PNS-bantu-tingkat-industri-francais-tempatan
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf