KOTA BHARU, 6 DISEMBER 2021,
Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) menjangkakan lebih 50 peratus usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini dapat menembusi pasaran antarabangsa dalam tempoh terdekat.
Ketua Pengawai Eksekutif PKINK Ab Aziz Yunus berkata pelbagai usaha telah dilakukan pihaknya dalam memperkasakan pembuatan, pengeluaran dan pemasaran produk halal yang turut dibantu oleh agensi-agensi berkaitan.
“Usahawan memainkan peranan penting dalam membangunkan sektor dan industri yang diceburui, jadi mereka ini juga perlu disokong dalam pemulihan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PKMS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan lebih 1,000 usahawan tempatan menampilkan hasil produk mereka di KALA Sentral, yang mana setakat ini seramai 200 usahawan telah memulakan perniagaannya di sini.
“Jika sebelum ini usahawan tempatan mengeluarkan produk menggunakan teknik manual, setelah didapati produk tersebut laris dan berpotensi, pihak kami membantu dari segi peralatan dan kewangan melalui agensi serta perbankan berkaitan.
“Apabila berada di KALA Sentral usahawan terutama berstatus mikro akan mendapat manfaat yang mana mereka tidak akan dikenakan caj terhadap produknya untuk pemasaran,” katanya.