Kota Bharu, 23 Jun 2022,
Koperasi Permodalan Kelantan Berhad dengan kerjasama Ace Innovate Asia Berhad menyasarkan sebanyak 20,000 akaun untuk melabur emas digital menerus platform ‘Pitih Emas’ sepanjang tahun ini.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Kelantan, Zainudin Mohamed berkata, pelaburan itu membolehkan semua masyarakat berpeluang membuat pelaburan emas terutama bagi membantu masyarakat mengukuhkan kewangan ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu. Selain itu katanya memberi pulangan jangka panjang kepada pelabur.
Menurutnya, pelancaran aplikasi pelaburan emas secara digital patuh syariah yang dikenali sebagai ‘pitih emas’ merupakan pelaburan kali pertama diadakan di Kelantan.
“Pelaburan emas serendah RM10 membolehkan semua lapisan masyarakat untuk melabur dalam simpanan emas dan boleh mengeluarkan emas yang dibeli, namun harus meninggalkan baki RM10 dalam akaun Pitih Emas.
“Pitih Emas juga menawarkan pendapatan tambahan buat ejen yang berdaftar di bawah Koperasi Permodalan Kelantan Berhad dalam ‘Affiliates Program’,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis pelancaran pelaburan emas digital ‘Pitih Emas, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Eksekutif ACE Innovate Asia Berhad, Go Yong Chang dan Yang Dipertua Koperasi Permodalan Kelantan Berhad, Ramilan Abdul Rahman.
Mengulas lanjut katanya, Koperasi Permodalan Kelantan Berhad memberi keutamaan kepada koperasi-koperasi di Pantai Timur semenanjung Malaysia untuk menjadi ‘affiliates’ mereka.
Selain itu, aplikasi ini turut memudahkan pelanggan membuat transaksi jual beli tanpa perlu ke premis yang menjual emas kerana ia boleh dibuat menerusi aplikasi sesawang www.pitihemas.com.my. – HARAKAHDAILY
Sumber: Harakah Daily
Artikel penuh: https://harakahdaily.net/index.php/2022/06/23/pitih-emas-pelaburan-digital-patuh-syariah/