Lambakan restoran makanan Barat di negara ini membuktikan penerimaan masyarakat terhadap cita rasa mat salih kian mendapat tempat. Burger, chicken chop dan lamb chop sering menjadi pilihan sama ada ketika makan tengah hari atau malam.
Melihat senario positif itu membuatkan Muhammad Fadhil Choong Abdullah bertekad memilih industri makanan dan minuman (F&B) sebagai percaturan. Memilih The Counter Custom Built Burgers yang beroperasi di Amerika Syarikat, beliau memberanikan diri membuka perniagaan francais itu di Malaysia yang kini mempunyai dua cawangan iaitu di pusat beli-belah Pavilion dan Nu Sentral.
“Di Malaysia, ia dikenali sebagai Built Custom Burgers. Apa yang membuatkan saya yakin membuka perniagaan ini kerana saya sendiri mencuba burger di beberapa negara dan saya dapati Built Custom Burgers adalah burger terbaik yang pernah dinikmati.
“Built Custom Burgers menggunakan seratus peratus daging lembu segar yang diimport dari Australia dan ia bebas suntikan hormon mahupun antibiotik serta halal.
“Pelanggan boleh memilih sendiri bahan seperti jenis sayuran, sos, daging lembu, ayam dan sebagainya. Kami menggunakan 11 jenis rempah bagi memberi kelazatan maksimum dan rasa ‘umph’ kepada pelanggan dengan harga berpatutan,” katanya.
Menurutnya, pelanggan juga boleh memilih sama ada mahu makan bersama roti atau dihidangkan di dalam mangkuk berserta salad. Fadhil memberitahu, selain daging lembu, bahan makanan lain seperti kentang dan roti turut diimport dari Amerika Syarikat bagi menjaga kualiti dan rasa.
“Semua hidangan di sini mengikut piawaian seperti yang ditetapkan di Amerika Syarikat malah kakitangan juga dilatih di sana selama sebulan,” katanya.
Mengenai persaingan, beliau menjelaskan ia adalah asam garam dalam dunia perniagaan dan menganggap sebagai persaingan sihat.
“Adatlah dalam perniagaan. Paling penting kita percaya dan yakin dengan produk sendiri. Alhamdulillah, setakat ini pelanggan sangat berpuas hati dan ada yang menjadi pelanggan tetap.
“Saya juga menerima beberapa tawaran daripada pusat beli-belah lain yang menawarkan membuka cawangan tetapi masih berfikir dan membuat beberapa rujukan,” katanya.
URL : http://www.hmetro.com.my/node/129215#sthash.NPuwC5Ab.dpuf