23 Jun 2015 – Bernama
Pengerusi PFM, Datuk Mohd Latip Sarrugi berkata peningkatan sasaran itu adalah selaras hasrat menjadikan Malaysia sebagai pusat francais di rantau Asia Tenggara dan Asia Barat menjelang 2020.
“Rantau ASEAN adalah antara destinasi perniagaan popular bagi syarikat-syarikat francais Malaysia selain ke Asia Barat.
“Rancangan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) turut menyediakan peluang yang baik bagi tujuan pengembangan francais Malaysia,” katanya ketika ditemui pada mesyuarat agung tahunan (AGM) kali ke-20 persatuan itu, di sini, Selasa.
AGM itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Mohd Latip optimis sasaran itu mampu dicapai berikutan faktor termasuk persamaan agama dan budaya dalam kalangan negara ASEAN.
Setakat ini, terdapat 60 jenama francais Malaysia yang telah bertapak di 55 negara dengan hampir 2,160 cawangan di seluruh dunia, katanya.
“Kami akan berusaha supaya bilangan cawangan syarikat-syarikat francais Malaysia di luar negara ini terus meningkat, iaitu dalam lingkungan 40 cawangan setahun mulai tahun ini,” katanya.
Selain itu, pada AGM berkenaan, Mohd Latip berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Pengerusi PFM untuk sesi 2015/17.
Naib Pengerusi adalah Datuk Seri Dr Richard Ong Thiam Boon (Smart Reader Kids) dan Izham Hakimi Datuk Hamdi (Tutti Frutti) yang turut menang tanpa bertanding untuk sesi 2015/17.
— BERNAMA