Ipoh, 13 Oktober 2024
Bertemakan Songket Kontemporari, HOME Terapi Matematik menganjurkan majlis anugerah yang penuh prestij bagi menghargai dan mengiktiraf para francaisi dan tenaga pengajarnya di seluruh Malaysia dan Indonesia. Di samping mengadakan program himpunan dalam memastikan hala tuju, misi, visi dan perancangan syarikat dapat diselaraskan ke setiap peringkat.
Majlis Anugerah Kecemerlangan HOME 2024 (HEA2024) ini telah dirasmikan dan disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan Francais dan Vendor, Tuan Chek Zainuddin bin Chek Jusoh bertempat di Hotel Casuarina Meru, Ipoh, Perak.
Anugerah kecemerlangan ini turut mengiktiraf 34 pemenang dalam beberapa kategori seperti, Kategori Francaisi, Kategori Cawangan, Kategori Pembantu Pengurus, Kategori Math Tutor dan Kategori Terbuka. (Senarai pemenang seperti di lampiran A).
Menurut Tuan Chek Zainuddin bin Chek Jusoh dalam ucapannya, HOME Terapi Matematik telah membuktikan bahawa pendidikan dan keusahawanan boleh digabungkan dan memberi impak yang signifikan kepada masyarakat.
”Saya melihat dengan pendekatan baharu dan inovasi dalam pendidikan, HOME telah menjadi sebuah jenama yang membawa transformasi dalam cara kita mendidik anak-anak Malaysia, terutamanya dalam bidang Matematik.”
Sepanjang tiga hari ini juga telah berlangsung program Konvensyen HOME 2024 bermula 11 Oktober 2024 yang mana seluruh warga HOME dari seluruh Malaysia dan Indonesia berhimpun di sini.
Pengarahnya, Muhamad Tajudin bin Mustafa berkata, “perkembangan jenama ini merupakan sesuatu yang diluar jangka daripada jumlah yang disasarkan untuk tahun ini dengan jumlah cawangan sebanyak 160 cawangan di seluruh Malaysia dan Indonesia. Setakat hari ini seramai 113 usahawan francaisi telah berjaya dilahirkan, dengan hampir 1,500 tutor terlatih dan lebih 10,000 orang pelajar yang berdaftar di seluruh cawangan”.
“Di peringkat antarabangsa, kami secara aktif menyokong inisiatif kerajaan melalui KUSKOP melalui penyertaan beberapa misi perdagangan dan sedang meneroka pasaran baharu di seluruh Indonesia menjelang tahun 2025”.
HOME bukan sekadar sebuah jenama, tetapi sebuah platform yang berperanan membantu kanak-kanak melalui kaedah pembelajaran yang menyeronokkan, mudah difahami serta disokong oleh sinergi pendekatan terapi dan psikologi. Kami yakin dengan pendekatan ini ia memberikan manfaat besar kepada kanak-kanak, khususnya dalam membina keyakinan diri, meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis dan seterusnya membantu perkembangan minda anak-anak.
Sumber: Home Math Therapy