8 March 2015 – Bernama
KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) — Perbadanan Nasional Bhd (PNS) menyarankan pertubuhan koperasi tempatan agar menceburi industri francais yang dapat meningkatkan hasil negara, kata Pengerusinya, Datuk Idris Hashim.
Koperasi juga, katanya, boleh menjadi platform bagi menjana pertumbuhan ekonomi berikutan saiznya yang besar iaitu sebanyak 8,000 pertubuhan dengan lapan juta ahli.
Bagaimanapun, menurut Idris, antara kebimbangan koperasi adalah kesukaran mendapatkan pembiayaan bagi memulakan perniagaan mereka.
“Merujuk kebimbangan mengenai pembiayaan ini, kerajaan telah menyenaraikan bantuan serta garis panduan kepada pihak koperasi, termasuk pembabitan Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk memberi dana pembangunan, jika itu diperlukan.
“Selain itu, SKM turut bekerjasama dengan kerajaan bagi mendapatkan ganjaran khas untuk menggalakkan koperasi menyertai bidang perniagaan,” katanya kepada media pada majlis penutup Sidang Kemuncak Francais Antarabangsa 2015 (IFS 2015) di sini, hari ini.
Idris berkata, koperasi mahupun masyarakat, secara amnya lebih bimbangkan soal kewangan berbanding tumpuan terhadap perniagaan atau produk yang bernilai untuk dijual.
Malah, atas alasan itulah, PNS memutuskan untuk mengetengahkan perkara itu dalam programnya tahun ini.
Beliau turut menyarankan agar pertubuhan koperasi untuk sama ada mewujudkan francais berdasarkan teras perniagaan mereka atau mengikut aliran semasa seperti perniagaan stesen minyak atau kedai serbaneka.
Jika berkemampuan, mereka juga boleh mengusahakan perniagaan tadika.
Menurut Idris, berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat, pertumbuhan bagi perniagaan francais di negara ASEAN adalah jauh lebih besar.
“Perniagaan francais Malaysia menyumbang lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.
Tahun lepas, industri itu menyumbang RM24.6 bilion atau 2.5 peratus kepada KDNK Malaysia.
“Kami menjangkakan dapat meningkatkan angka itu kepada RM30 bilion menjelang 2020,” katanya.
— BERNAMA