Butterworth, 13 Jun 2022,
Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) memperuntukkan pembiayaan merangkumi latihan dan kursus sehingga RM43 juta melalui program ‘BizFrancais’ yang diadakan seluruh negara, tahun ini.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Mazlan Ibrahim, berkata peruntukan itu adalah bagi membiayai usahawan yang menceburi perniagaan francaisi, francaiso dan peserta di bawah program Transformasi Perniagaan (BIT).
Katanya, ia berikutan PERNAS yang juga antara satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) giat memperhebatkan usahawan yang berminat dalam perniagaan francais.
“PERNAS melihat banyak potensi yang boleh diterokai bagi membangunkan perniagaan francais berdasarkan kepada kemunculan pelbagai jenama francais.”
“Dari sudut pembiayaan ia juga bergantung kepada perniagaan. Kita sediakan pinjaman kepada usahawan dan ada juga agensi lain akan bantu bergantung kepada saiz dan keperluan yang diperlukan untuk menjalankan perniagaan” katanya selepas Program BizFrancais Pulau Pinang di Seberang Jaya, di sini, semalam.
Program berkenaan dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan dan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh. Mengulas lanjut, Mazlan berkata, program BizFrancais yang baru bermula di Pulau Pinang tahunan ini berjaya menarik minat lebih daripada 300 peserta daripada kalangan usahawan, bakal usahawan dan orang awam yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai ilmu keusahawanan francais dan bantuan yang ditawarkan PERNAS.
“Program selama sehari itu meliputi sesi perkongsian ilmu daripada usahawan francais, taklimat daripada agensi kerajaan seperti Pernas, MyIPO, MYNIC Berhad serta forum perniagaan bersama jenama francais , prafrancais termasuk jenama di bawah program BIT.
“Dalam pada itu, program ini turut mengumpulkan 27 jenama francais dan prafrancais di bawah satu bumbung dengan memberi peluang kepada peserta yang hadir mendapatkan input serta meneroka potensi bidang perniagaan francais termasuk jenama francais terkemuka,” katanya.
Sementara itu, Zamri berkata, program itu turut menjadi platform bagi meningkatkan taraf sosioekonomi tempatan yang menggalakkan peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan perniagaan mereka dengan sistem francais.
“Sehingga kini, industri francais di Malaysia berkembang pada tahap membanggakan di mana sebanyak 1,137 syarikat francais yang berdaftar dan daripada jumlah itu 68 syarikat francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa di 70 negara,” katanya.
Sumber: Berita Harian