Kota Kinabalu, 21 September 2024,
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya, Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) menyasarkan potensi pembiayaan berjumlah RM4 juta kepada usahawan di negeri ini melalui penganjuran Karnival PERNAS 2024 yang berlangsung selama dua hari.
Karnival bermula 21 sehingga 22 September ini bertujuan memperkasa keusahawanan francais dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) setempat melalui perkhidmatan dan produk PERNAS serta agensi KUSKOP.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam ucapannya berkata, penganjuran karnival buat julung kali ini juga menggalakkan penyertaan orang ramai dalam bidang keusahawanan khususnya dalam bidang francais serta mempromosi produk serta perkhidmatan usahawan setempat.
“Lebih daripada 100 usahawan dan pempamer perniagaan turut serta dalam karnival ini iaitu usahawan francais, prafrancais, usahawan tempatan yang mempromosikan perkhidmatan, makanan, bahan segar, kraftangan, produk tradisional serta trak makanan.
“Karnival ini adalah platform terbaik untuk pihak kementerian dan agensi turun padang bagi mempromosikan bidang keusahawanan kepada orang ramai,” katanya.
Beliau berkata, peganjuran hari pertama karnival mengadakan Sesi Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERNAS dan Serai Group Sdn Bhd (Serai Group) yang bertujuan mengukuhkan kerjasama kedua-dua belah pihak dalam pembangunan perniagaan.
Katanya, ia juga bertujuan mengembangkan pasaran dan inisiatif sokongan keusahawanan.
“Turut diadakan pengenalan produk baharu PERNAS iaitu Program Inisiatif Keusahawanan Veteran dan Pembiayaan (I-VIP) yang menyasarkan golongan pesara dan veteran untuk menceburi perniagaan francais dengan bantuan pembiayaan dan bimbingan daripada PERNAS dengan sasaran potensi pembiayaan berjumlah RM3 juta.
“Kita juga akan menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta Program Pemerkasaan Usahawan Sabah (PUSH), sijil penghargaan kepada MIDE bersempena dengan kerjasamaa yang dilaksanakan bersama PERNAS.
“Replika cek pembiayaan juga akan disampaikan kepada francaisi PERNAS bernilai RM1.12 juta serta penyerahan sijil penghargaan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) atas kerjasama penganjuran Bengkel Kesedaran Halal Usahawan MADANI Sabah,” katanya.
Menurutnya, sehingga kini, PERNAS sudah membiaya 69 usahawan di Sabah dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM12.7 juta.
“Secara keseluruhannya, PERNAS menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM50 juta di seluruh negara tahun ini.
“Pelbagai aktiviti keusahawanan juga akan dilaksanakan termasuklah Seminar Pemerkasaan Usahawan Bumiputera, Sesi Libat Urus Usahawan Sabah, Demostrasi Produk Usahawan, Pameran Keusahawanan dan Promosi Produk, Podcast Talk bersama usahawan dan agensi,” katanya.
Turut hadir semasa karnival berlangsung ialah Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) Datuk Thomas Logijin, Setiausaha Tetap, Kementerian Pertanian Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) Leonard Stephen Poyong dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah serta Ahli Lembaga Pengarah PERNAS.
Hadir sama Juara Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Kebangsaan 2024, Hyallene Danius yang juga Duta Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) MIDE Sabah.
Sumber : Utusan Borneo
Artikel Penuh : https://www.utusanborneo.com.my/2024/09/21/pernas-sasar-potensi-pembiayaan-francais-rm4-juta-di-sabah-tahun-ini