Petaling Jaya, 25 September 2023,
Usia seseorang bukanlah penentu kejayaan dalam perniagaan, malah ramai usahawan berjaya yang bermula pada usia yang agak lewat pada 50 atau 60
tahun.
Dalam hal ini, peneraju industri francais negara, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) bakal memperkenalkan program keusahawanan francais terbaharu yang disasarkan kepada golongan pesara dan veteran dalam tempoh masa terdekat.
Pemangku Ketua, Seksyen Pemasaran Francais Pernas, Siti Farhana Abu Bakar berkata, projek berkenaan akan turut memasukkan elemen perusahaan sosial (social enterprise).
“Selain golongan veteran, kami juga mempunyai program untuk wanita iaitu program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talents (SWEET) yang memiliki had usia maksimum
sehingga 60 tahun.
“Usia dan jantina bukan penghalang. Wanita ini sebenarnya hebat, ramai dalam kalangan usahawan wanita kita yang berjaya dan memberikan impak yang sangat bagus kepada ekonomi,” katanya dalam sesi panel webinar siri 2 bersama MMTV, baru-baru ini.
Menurut Siti Farhana, antara program pembangunan usahawan francais yang sedang dilaksanakan Pernas ialah Be Your Own Boss (BYOB) yang terbuka untuk lelaki dan wanita.
Melalui BYOB, Pernas menawarkan dua program iaitu Young Entrepreneurship Engagement Talents (YOUNITY) bagi golongan belia, selain SWEET yang dikhususkan untuk wanita.
Jelasnya, program keusahawanan francais anjuran Pernas menerima sambutan yang sangat menggalakkan, termasuk daripada golongan usahawan di luar Lembah Klang.
“Pengalaman kami di Program BizFrancais Sarawak baru-baru ini boleh dikatakan satu pengalaman yang sangat hebat.
“Mereka yang berdaftar melepasi sasaran dan mereka sangat komited sehingga ke petang. Usahawan francais yang kami bawa juga sangat berpuas hati dengan sambutan yang
ditunjukkan, menjadikan kami teruja untuk ke jelajah BizFrancais yang lain,” ujarnya.
Siti Farhana menambah, golongan yang berminat menjadi usahawan francais dialu-alukan untuk mendapatkan maklumat dan berdaftar dengan Pernas supaya pihaknya boleh mengatur
sesi bersama mereka yang benarbenar serius dan bersemangat menjalankan perniagaan tersebut.
Katanya, usahawan francais perlu bersedia untuk menambah ilmu pengetahuan serta kemahiran dalam memastikan bisnes mereka kekal relevan dalam tempoh masa panjang.
“Pada masa sama, usahawan perlu memastikan jenama perniagaan mereka kukuh dan berdaya saing, bukan sekadar viral sekejap sahaja, perlu ada ciri-ciri keunikan yang memberi nilai tambah.
“Kena cari unique selling proposition untuk perniagaan itu. Kalau tidak orang nak jual roti canai kita pun nak jual roti canai, tapi di mana keunikan itu kita kena cari, gali betul-betul barulah
kita boleh berkembang.
“Selain mencari identiti, kita juga perlu bina pasukan, pastikan ahli lain turut dilatih dalam pengurusan francais,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Penuh: https://www.utusan.com.my/berita/2023/09/pernas-sasar-golongan-veteran-wanita-dan-belia/