Kuala Lumpur, 19 September 2023,
Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) dan Bubbles 02 Sdn. Bhd. (Bubbles 02) melaksanakan kolaborasi dalam usaha memacu perkembangan industri francais sempena Petronas Le Tour de Langkawi 2023 (Petronas LTdL 2023).
Menerusi usaha tersebut, Bubbles 02 iaitu pengeluar minuman air mineral yang merupakan penaja Petronas LTdL 2023 ‘Most Combative Rider’ mempelawa Pernas melaksanakan kerjasama dalam mewujudkan semangat keusahawanan serta membuka peluang perniagaan francais kepada peserta dan pengunjung acara tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Pernas, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd. Sidek berkata, program turun padang Pernas pada penganjuran acara sukan basikal berprestij itu menggunakan slogan ‘Jom #CariPernas @ Reruai Bubbles 02’.
“Ia mempromosikan produk dan perkhidmatan Pernas kepada anggaran lebih sejuta penonton dan pengunjung di sepanjang lapan laluan Petronas LTdL 2023.
“Bubbles 02 Cavalcade turut membantu mempromosikan sistem francais dengan tumpuan untuk membimbing dan menyediakan sokongan pembiayaan, latihan, pembangunan keusahawanan dan pelaburan ekuiti agar orang awam boleh meneroka untuk menceburi francais,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pernas dan Bubbles 02 sempena Petronas LTdL 2023 di Menara Pernas, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BubblesO2 Sdn. Bhd., Ain Azizah Arifin
Abu Bakar berkata, antara usahawan jenama yang turut serta di reruai Bubbles 02 ialah Gloria Jean’s Coffees, 1901 dan FTW Racing sekali gus peluang mempromosi jenama ke seluruh dunia pada penganjuran acara itu.
Sumber: Kosmo!
Artikel Penuh: https://www.kosmo.com.my/2023/09/19/pernas-bubbles-02-promosi-francais-malaysia-di-petronas-ltdl-2023/