26 December 2014 – Sinar Harian
PERNIAGAAN makanan tradisional, Putu McBamboo yang kini makin digemari masyarakat di Perak, akan diperluas ke seluruh negara dalam tempoh dua tahun.
Pengerusi Putu McBamboo, Datuk Hamidah Osman berkata, pada masa ini, perniagaan itu beroperasi di Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.
“Kami pasang impian memasarkan Putu McBamboo ke negara luar seperti Singapura, Thailand dan Brunei,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Putu McBamboo di Ipoh, baru-baru ini yang turut dihadiri Presiden Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun)
Nasional, Datuk Abdul Rahim Hassan dan Pengurus Perakaunan Perbadanan Nasional Bhd, Hanisah Abu Hasan.
Hamidah berkata, pada masa sama pihaknya meletak sasaran melantik 1,000 rakan niaga di seluruh negara bagi memperkembangkan perniagaan kuih berkenaan.
“Kami berhasrat menjadikan Putu McBamboo salah satu perniagaan francais yang berjaya di Malaysia,” katanya.
Bersempena majlis pelancaran itu, beliau berkata, 43 individu dilantik sebagai rakan niaga Putu McBamboo.
Hamidah berkata, lebih menarik apabila rakan niaga Putu McBamboo adalah dalam kalangan belia.
Menurutnya, Putu McBamboo merupakan rakan kongsi Tekun Nasional yang membolehkan rakan niaganya menerima pinjaman RM6,000 daripada agensi tersebut.
“Kami bimbing rakan niaga mengenai operasi perniagaan ini, termasuklah cara membuat Putu Bambu,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata, sejak ditubuhkan pada 1999 hingga hari ini, Tekun Nasional memberi pinjaman berjumlah RM3.3 bilion kepada pelbagai golongan usahawan.
Katanya, di Perak sahaja, Tekun Nasional memberikan pinjaman sejumlah RM246.6 juta kepada 24,357 usahawan.