27 November 2014 – Harian Metro
Putrajaya: Grandpolitan Sdn Bhd (Grandpolitan), pemegang francais induk dan pengendali restoran Tony Roma’s (TR) di negara ini mensasarkan untuk membuka lima cawangan baru dalam tempoh dua tahun akan datang selaras dengan usaha mengukuhkan jenama itu di pasaran Malaysia.
Pengurus Unit Perniagaannya, Muhammad Adam Mah berkata, antara lokasi yang menjadi pilihan untuk mengembangkan perniagaan adalah di Sabah, Sarawak, Brunei dan bahagian Utara Semenanjung seperti Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
“Kami mendapat permintaan daripada pelanggan supaya membuka cawangan di bahagian Utara Semenanjung, InsyaAllah dalam tempoh dua tahun akan datang kami akan meluaskan pasaran ke lokasi berkenaan untuk memenuhi permintaan pelanggan.
“Ketika ini, TR sudah mempunyai sembilan cawangan di Lembah Klang dan Johor, termasuk yang terbaru dibuka Sabtu lalu di pusat beli belah terbaru iaitu IoI City Mall Putrajaya,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Turut hadir Naib Presiden Francais International Romacorp Inc, Roger Stracener.
Muhammad Adam berkata, Grandpolitan melabur sebanyak RM1.8 juta untuk membuka cawangan kesembilannya I0I City Mall Putrajaya, iaitu lapan hari selepas pembukaan cawangan pertama di Johor Bahru, 18 November lalu.
Beliau berkata, orang ramai terutama umat Islam tidak perlu bimbang untuk menikmati hidangan rusuk panggang di TR kerana semua bahan mentah dan sos yang digunakan adalah halal serta mendapat sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Sementara Roger berkata, Romacorp Inc akan mengukuhkan lagi perniagaannya di rantau Asia dengan membuka lebih banyak cawangan terutama di Myanmar, India, Sri Lanka, Nepal dan Bangladesh.
“Dalam tempoh 12 hingga 18 bulan lagi beberapa cawangan akan dibuka di negara berkenaan. Ini satu daripada usaha kita mengukuhkan jenama TR dalam kalangan peminat makanan barat terutama rusuk panggang.
“TR sudah 42 tahun berada di pasaran di 34 negara ketika ini, dan kami berharap menjelang 50 tahun ulang tahun kami, TR sudah berada di semua negara di seluruh dunia,” katanya.