22 December 2014 – Sinar Harian
KUALA PILAH – Pengguna harus bijak dan menggunakan kuasa dalam menyuarakan hak mereka jika mendapati harga barang dinaikkan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek.
“Kalau dulu, mereka bercakap barang naik sebab harga minyak naik, tetapi sekarang harga minyak turun maka mereka kena bersuara menuntut agar harga barang diturunkan. Sebab itu saya serahkan kepada persatuan pengguna menyuarakan hak pengguna.
“Di luar negara, kuasa pengguna begitu kuat sehingga mereka boleh menentukan harga, menjatuhkan syarikat dan sebagainya,” kata beliau ketika ditemui pemberita pada program Jalinan Kasih Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas permintaan pengguna yang mahukan harga barang diturunkan berikutan harga minyak petrol dan diesel jatuh pada masa kini.
Sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Hasan yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah berkata beliau sentiasa menjaga kepentingan peniaga dan pengguna.
“Saya mahu mensejahterakan semua pihak…peniaga dan pengguna. Peniaga, kalau mereka nak buat untung, saya tiada masalah tetapi untung berpatutan. Pengguna pula mesti pandai buat pilihan melaporkan sebarang kenaikan harga barang kepada kita supaya tindakan boleh diambil terhadap peniaga terbabit,” katanya.
Beliau berkata sebelum harga minyak turun, kementerian telah memaklumkan kepada Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) untuk berlaku adil kepada semua pihak termasuk kerajaan dan pengguna.
“Kita akan mengadakan perbincangan dengan FMM sekali lagi setelah harga minyak turun. Saya nak yakinkan kepada mereka agar berada dalam situasi menang-menang. Jadi, saya minta kepada pengeluar dan peruncit agar berbincang dalam menetapkan harga barang yang berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Hasan meminta semua jenama syarikat francais makanan dan minuman termasuk perniagaan kopitiam di negara ini, supaya mengambil peluang mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara melalui program francais ‘Malaysia Goes Global’ yang dianjurkan oleh kementerian.
Bercakap ketika merasmikan outlet Hailam Kopitiam Kuala Pilah di sini, beliau berkata terdapat potensi yang cukup luas di pasaran luar negara yang boleh direbut oleh syarikat francaisor tempatan.
“Sebagai contoh, syarikat francais Bangi Kopitiam membuka 55 outlet di Indonesia dalam masa tiga tahun. Francais Old Town White Coffee pula mempunyai 21 outlet di Indonesia, Singapura dan Brunei manakala syarikat francais Station One mempunyai beberapa outlet di China serta Papparich membuka dua outlet di Sydney, Australia,” katanya. – Bernama