Kuala Lumpur, 6 Februari 2024,
Pencalonan bagi Anugerah Francais Malaysia 2024 (AFM2024), yang memberi pengiktirafan kepada para penggiat industri francais, kini dibuka sehingga 22 Mac ini.
Pengarah AFM2024, Prof. Madya Dr. Mohd Hizam Hanafiah, dalam satu kenyataan berkata penganjuran anugerah edisi kali ke-26 ini merupakan wadah penting untuk memberi pengiktirafan kepada semua penggiat industri francais tempatan untuk berusaha mengekalkan prestasi cemerlang di pasaran tempatan dan bersaing dengan lebih baik di peringkat global.
“AFM2024 bakal mengiktiraf 21 pemenang daripada 6 kategori utama yang merangkumi pelbagai sektor dalam ekosistem industri francais. Antara kategori yang akan dipertandingkan adalah Kategori Sistem Francais, Kategori Francaisor Antarabangsa, Kategori Francaisi, Kategori Terbuka, Kategori ESG dan Kategori Media,” katanya.
Selain itu, sebagai tanda penghargaan ke atas sumbangan, dedikasi dan kerja keras usahawan francaisi yang dilihat semakin mendominasi industri francais, MFA pada tahun ini telah mempelbagaikan anugerah kategori francaisi daripada satu anugerah Franchisee of the Year kepada 4 anugerah baru iaitu Best Single-Unit Franchisee of The Year, Best Multi-Unit Franchisee of The Year, Best International Single-Unit Franchisee of the Year dan Best International Multi-Unit Franchisee of The Year.
Anugerah Francais Malaysia telah mengiktiraf lebih 100 syarikat dan individu selain menjadi tanda aras kepada sektor francais serta anugerah antarabangsa. Pada tahun ini, MFA menyasarkan lebih 100 pencalonan untuk semua kategori anugerah yang dipertandingkan.
Lebih menarik, pencalonan bagi anugerah pada tahun ini adalah terbuka kepada semua penggiat yang terlibat dalam industri francais sama ada ahli atau bukan ahli MFA. Hal ini bagi menghargai sumbangan semua yang terlibat dalam pembangunan industri ini.
Menurut Prof. Madya Dr. Mohd Hizam, bagi mengekalkan anugerah francais sebagai anugerah terunggul dalam industri francais tempatan dan sentiasa menjadi pilihan utama penggiat francais, anugerah tahun ini mengekalkan aspek ketulenan di mana pemenang anugerah dipilih oleh panel penilai berkecuali yang terdiri daripada profesional dari agensi kerajaan dan ahli akademik yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan industri francais. Kerangka kerja penilaian telah ditambahbaik dan penandaarasan (benchmarking) dengan anugerah antarabangsa dilakukan untuk memastikan anugerah ini bertaraf antarabangsa.
“Beberapa syarat penyertaan anugerah telah ditambahbaik agar AFM kekal dinamik, berdaya saing dan bertaraf dunia. Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Pemilih AFM2024 sentiasa menekankan nilai-nilai keadilan, ketelusan dan profesionalisme agar Anugerah ini kekal Genuine, Exceptional and Prestige,”tambahnya.
Kesemua anugerah akan disampaikan pada Malam Anugerah Francais yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 29 Mei 2024. Majlis ini dijangka akan dihadiri oleh lebih 800 orang tetamu yang terdiri daripada penggiat industri francais, wakil-wakil kementerian dan agensi, badan-badan berkepentingan yang lain, pengamal media dan banyak lagi.
Terdahulu, Anugerah kategori Francais Terbaik pernah dimenangi oleh Daily Fresh, Focus Point, Global Art, Marrybrown, Oldtown White Coffee, Smart Reader Kids, Secret Recipe dan The Manhattan Fish Market sepanjang penganjurannya.
Bagi mendapatkan borang pencalonan dan keterangan lanjut berkaitan AFM2024, sila layari www.mfa.org.my/awards
Objektif utama penganjuran Anugerah Francais Malaysia ialah untuk:
· Memberi pengiktirafan kepada penggiat–penggiat francais yang telah memberi sumbangan kepada industri francais di Malaysia.
· Menggalakkan amalan terbaik, inovasi dan mempromosikan persaingan yang sihat dalam usaha meningkatkan kemajuan perniagaan dan mewujudkan industri francais yang lebih berdaya saing.
· Memberikan penghargaan di atas sumbangan dan sokongan yang telah diberikan oleh pelbagai pihak ke arah memajukan lagi industri francais di Malaysia.
· Mengeratkan hubungan dan kerjasama dalam kalangan ahli MFA serta semua pihak yang terlibat di dalam industri francais.
· Meningkatkan standard, kualiti dan prestij Anugerah Francais Malaysia ke tahap antarabangsa.
– Bernama
Sumber: Utusan Sarawak
Artikel Penuh: https://www.utusansarawak.com.my/?p=50307