Kuala Lumpur,
Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2023 selama tiga hari dijangka memacu perniagaan domestik ke tahap lebih tinggi, selain menjadi wadah meluaskan jenama ke luar negara.
Dianjurkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia, FIM 2023 diramal mampu menarik kehadiran 15,000 pengunjung ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bermula hari ini sehingga 20 Mei.
Bertemakan “Rebuilding Growth, Spurring Excellence”, pameran itu diunjur membawa pelaburan francais berjumlah RM550 juta.
Selain perniagaan Malaysia, francais dari Amerika Syarikat, Australia, Brunei, Jepun, Korea Selatan, Filipina, Singapura, dan Taiwan juga mengambil bahagian dalam FIM 2023.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Radzali Hassan, berkata acara berkenaan dianjur demi membantu francais tempatan kesalinghubungan bersama pelabur luar.
“FIM menjadi platform kondusif bagi semua usahawan francais termasuk usahawan berpotensi berhubungan, dan mewujudkan jaringan perniagaan lebih meluas.
“Ia juga menjadi platform terbaik bagi komuniti meneroka peluang kerja menerusi francais, seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya dalam ucaptama.
Acara tiga hari meliputi persidangan, sesi taklimat francais, aktiviti ‘edutainment’, dan sesi pemadanan perniagaan antara francaisor dengan pelabur berpotensi.
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, berkata program mampu mengumpulkan francaisor dari seluruh dunia berkongsi pengalaman, idea, dan pengetahuan untuk membangunkan industri francais negara.
“Saya yakin sekiranya kita bersama menggembleng tenaga untuk promosi jenama tempatan ke peringkat antarabangsa maka lebih banyak produk datang dari Malaysia lebih dikenali di luar negara,” katanya.
Katanya, kejayaan masa hadapan perniagaan francais Malaysia akan bergantung ke satu peringkat di mana sejauh mana ia menggabungkan keperluan mampan seperti inovasi, kecekapan, penciptaan kekayaan, sambil mengemudi cabaran serta peluang pertumbuhan termasuk kestabilan.
Turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Salahuddin Ayub dan Timbalan Setiausaha Pembangunan Perdagangan Dalam Negeri, Roziah Abudin.
Pada sidang media selepas pelancaran FIM 2023, Salahuddin berkata, kementerian mempunyai pelan jangka panjang membawa lebih banyak jenama Malaysia ke luar negara.
“Kami (pihak kementerian) percaya potensi industri ini (francais). Pada 2022, contohnya, ia dinilai RM28 bilion.
“Francais berterusan menyumbang kepada kewujudan usahana dan PKS, dan kami akan membantu mereka dengan beberapa inisiatif yang akan diumumkan pada masa akan datang.”
Sumber: Free Malaysia Today
Artikel Penuh: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/05/18/pameran-francais-antarabangsa-malaysia-pacu-perniagaan-tempatan-ke-pasaran-global/