Kuala Lumpur, 27 Feb 2025,
Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2025 pada Mei akan datang dijangka menjadi platform kepada usahawan tempatan menceburi industri francais, seterusnya mengembangkan pasaran jenama mereka.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata pameran FIM 2025 dan Konvensyen Francais ASEAN (AFC) akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab francais terkemuka di rantau ASEAN.
Katanya, AFC dijangka akan berlangsung pada 7 hingga 8 Mei dan diikuti dengan FIM pada 8 hingga 10 Mei depan.
“Kedua-dua acara ini berperanan sebagai platform utama dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab francais terkemuka di rantau ASEAN.
“Penganjuran AFC dan FIM bukan sahaja bertujuan memperkukuh jenama francais tempatan di peringkat global, tetapi menarik pelaburan asing ke dalam negara serta membuka lebih banyak peluang keusahawanan bagi rakyat Malaysia dan rantau ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Konvensyen Francais Asean (AFC) dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Ewon berkata, pada tahun ini, KUSKOP dengan kerjasama MFA buat julung kalinya menganjurkan AFC semasa Pameran FIM 2025.
Menurutnya, penganjuran AFC bersempena kepengerusian ASEAN oleh Malaysia memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pembangunan industri francais di rantau ini.
“Kedua-dua program ini bakal menghimpunkan pemain industri francais dari pelbagai negara ASEAN dan antarabangsa.
“Selain menjadi platform perkongsian ilmu dan pengalaman, ia juga membuka peluang bagi pelabur, francaisor dan francaisi untuk menjalin kerjasama strategik yang dapat memperkembangkan industri ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Ewon berkata, industri francais kini menjadi antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara dan serantau.
“Dengan lebih 70 jenama francais tempatan yang berjaya menembusi pasaran global, potensi sektor ini dalam memperkasakan usahawan dan memperluaskan jaringan perniagaan amat besar.
“Selain itu, ia turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Secara purata, setiap perniagaan francais baharu mewujudkan sekurang-kurangnya satu hingga dua peluang pekerjaan,” katanya.
Ewon berkata, kementerian komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong pembangunan industri francais, termasuk memperkenalkan Dasar Francais Negara 2030 (DFN2030) yang telah dilancarkan baru-baru ini.
“Saya yakin pelaksanaan DFN2030 akan mewujudkan industri francais yang lebih dinamik, berdaya saing, serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan inovasi dalam negara,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo
Artikel Penuh: https://www.utusanborneo.com.my/2025/02/27/pameran-fim-2025-platform-ceburi-industri-francais