Kuala Lumpur – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub (dua kiri) ketika melancarkan Menu Rahmah Oldtown White Coffee di Laman Niaga Sri Rampai.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Roziah Abudin (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Oldtown White Coffee Dawn Liew (dua, kanan) dan Pengarah Kanan Komersial Foodpanda Malaysia Sdn Bhd Jay Ar Juan (kanan).
Oldtown bakal memperkenalkan kepada pelanggan pelbagai menu makanan dengan harga yang berpatutan di bawah Menu Rahmah bermula daripada harga RM4.50.
“Setakat petang ini kita ada 1,142 outlet yang terlibat dalam inisiatif Rahmah, tidak termasuk 182 cawangan kedai Oldtown White Coffee, esok Mcdonald’s, Marrybrown, Kentucky Fried Chicken, Pizza Hut dan yang terbaharu adalah Texas Chicken, yang telah menyertai Menu Rahmah. Hari demi hari syarikat yang ternama menunjukkan minat dan bersedia untuk menawarkan Menu Rahmah,” katanya.
Salahuddin berkata pihaknya akan terima kritikan atau cabaran serta akan mengambil semua teguran secara terbuka, supaya KPDN dapat memastikan Menu Rahmah dapat diteruskan pada satu jangka masa yang munasabah.
“Saya sangat percaya bahawa KPDN tidak boleh bertindak sendirian kita perlukan kolaborasi, persefahaman, kerjasama yang lebih erat dengan kementerian-kementerian lain khususnya dalam enam teras – makanan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan, perumahan dan juga utiliti – serta prasarana/infrastruktur rakyat mesti ditingkatkan, dalam kita memastikan (penurunan) kos sara hidup akan dapat dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Salahuddin berkata beliau telah mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersama kabinet, sebanyak dua kali.
Mesyuarat NACCOL itu turut dianggotai 11 kementerian bagi mencari jalan penyelesaian berhubung kos sara hidup dihadapi rakyat ketika ini.
“Di peringkat saya, lebih dua atau tiga kali kita telah mengadakan mesyuarat itu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, saya kira diperingkat menteri (tiga kali) dan peringkat pegawai (dua kali).
“Kita juga dalam usaha mengadakan perbincangan bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan di peringkat menteri dan pegawai dan juga komuniti tidak lama lagi, bagi membincangkan berkaitan program bulan ramadan untuk Bazar Ramadan Rahmah, yang akan turut melibatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata KPDN akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan dan pihaknya akan pastikan di seluruh negara akan ada lebih banyak premis yang memperkenalkan Menu Rahmah.
Mengenai keberkesanan inisiatif Rahmah, Salahuddin berkata biarlah rakyat yang membuat penilaian, kerana inisiatif Rahmah dibuat secara sukarela dan Menu Rahmah itu untuk rakyat, rakyat akan memberi maklum balas.
“Semua premis-premis dan syarikat-syarikat yang menyertai usaha murni ini secara sukarela. Ada di antara mereka telah membuat kenyataan mereka telah dapat menambah pendapatan mereka, walaupun hanya (berharga) RM5 ke bawah tetapi mereka dapat jumlah pelanggan yang bertambah.
“Itu adalah satu jawapan yang membuktikan bahawa Menu Rahmah ini bukan sekadar memberikan servis kepada rakyat tetapi (juga kepada) penjual, gerai-gerai dan warung-warung, dan apatah lagi (kopitiam berjenama) Oldtown White Coffee ini akan dapat menambah pelanggan untuk terus datang menyokong bisnes mereka,” katanya.
Menu Rahmah telah mula tersedia dilebih 180 cawangan Oldtown White Coffee seluruh negara (kecuali di lapangan terbang dan kawasan perlancongan), setiap hari bermula jam 8 pagi bermula bulan ini dan menawarkan tiga pilihan set makanan iaitu Nasi Lemak Rahmah dengan air limau, Nasi Lemak Rahmah dengan sosej dan air limau dan Nasi Lemak Rahmah dengan ayam cincang dan air limau.
Pihak Oldtown White Coffee turut mengadakan kerjasama bersama pengendali penghantaran makanan iaitu Food Panda, untuk mempromosikan Menu Rahmah dalam applikasi mereka.
Sumber: Malaysia News Tv
Artikel Penuh: https://mymntnews.com/2023/03/08/oldtown-white-coffee-perkenal-menu-rahmah/