Petaling Jaya, 29 Mac 2022,
Oldtown White Coffee mengumumkan kenaikan gaji minimum RM1,500 sebulan kepada pekerjanya berkuatkuasa 1 Mac bagi mengiktiraf hak kakitangan dalam menerima pendapatan yang relevan mengikut situasi ekonomi semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Oldtown White Coffee, Dawn Liew berkata, peningkatan gaji minimum itu akan membabitkan semua kumpulan pekerja termasuk pekerja daripada bahagian operasi restoran, produksi pembuatan dan logistik.
“Oldtown sememangya telah merancang dan meneliti untuk menaikkan kadar gaji minimum bagi semua pekerja dan secara kebetulan kerajaan turut mengumumkan pelaksanaan tersebut berkuatkuasa pada 1 Mei,” katanya.
“Oleh itu, kami percaya kenaikan gaji minimum ini perlu disegerakan dan Oldtown memilih untuk melaksanakannya sebelum tarikh yang ditetapkan oleh kerajaan,” tambahnya.
Dawn Liew berkata, Oldtown sentiasa menitikberatkan kebajikan kakitangannya dan pelaksanaan kenaikan gaji minimum ini dapat membantu pekerja dalam mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat serta menaikkan semangat mereka untuk terus berkhidmat bersama syarikat ini.
Jelasnya, pelaksanaan gaji minimum ini dilihat mampu memberi impak positif terhadap situasi kewangan peribadi pekerja Oldtown untuk tempoh masa yang panjang terutama mereka yang mempunyai keluarga.
“Kenaikan gaji ini bukan sahaja sebagai tanda penghargaan ke atas jasa pekerja yang telah lama berkhidmat, tetapi akan menarik minat generasi muda serta pelbagai individu yang berminat untuk menceburi industri F&B,” kata Liew.
Jelasnya, Oldtown turut mengalu-alukan semua individu termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk bekerja bagi memberi peluang yang sama kepada mereka untuk meraih pendapatan sendiri seperti masyarakat lain.
“Oldtown merupakan syarikat yang menghargai kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman dalam tenaga kerja. Oleh itu, kami menawarkan dan menggalakkan komuniti OKU untuk turut serta membina kerjaya bersama Oldtown,” katanya.
Jelasnya, Oldtown sentiasa ingin membantu dan memperkasakan golongan OKU untuk mendapatkan akses pekerjaan dengan menyediakan persekitaran yang selamat untuk mereka belajar serta memilih bidang kerja yang bersesuaian.
“Latihan progresif berterusan akan disediakan bagi membantu mereka menyesuaikan diri dan mengasah kemahiran yang diperlukan untuk bekerja. Peluang ini akan mendorong mereka untuk lebih positif dalam kehidupan serta memberi keyakinan tinggi untuk berkomunikasi dengan orang lain,” tambah Liew.
Mengulas mengenai Fasa Peralihan Endemik COVID-19 yang bakal bermula 1 April ini, Oldtown sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengekang penularan COVID-19 serta memastikan keselamatan kakitangannya dengan memastikan semua pekerja melakukan ujian RTK antigen (RTK-Ag) secara berkala.
“Ujian RTK antigen secara berkala iaitu dua kali seminggu telah dilaksanakan sebelum ini dan Oldtown akan meneruskannya selain memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” jelasnya.
Sumber: Bernama
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/press/news.php?id=2066867