Kuala Lumpur, 21 Disember 2022,
Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai OldTown Kopitiam merancang untuk mengembangkan perniagaannya dengan meletakkan sasaran membuka 50 cawangan francais baharu pada 2023.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Dawn Liew berkata buat masa ini OldTown mempunyai 165 cawangan di Malaysia dan 19 cawangan lain di Indonesia, Singapura dan Hong Kong.
“Kami sedang mencari lebih ramai usahawan untuk menyertai perniagaan kami dan menjadi sebahagian daripada pemegang francais OldTown Kopitiam.
“Sebagai francaisor, kami akan menyokong francaisi dengan memberi latihan profesional, panduan pemilihan tapak, reka bentuk dan konsep, sokongan pengurusan operasi, pembangunan produk baharu, sokongan rantaian bekalan, sokongan pembukaan perniagaan baharu serta inisiatif pengiklanan dan promosi,” katanya dalam program ‘Apa Khabar Malaysia’ terbitan Bernama TV.
Beliau juga berkata terdapat banyak faedah lain untuk usahawan menyertai syarikatnya sebagai pemegang francais.
“Kopitiam kami mempunyai reputasi baik yang beroperasi sepanjang tahun dan OldTown Kopitiam juga memperoleh pensijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Perniagaan kami melibatkan pengendalian dan penyediaan makanan serta mudah dikendalikan dan diurus serta mempunyai pilihan menu pelbagai,” katanya. – Bernama
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/bisnes/usahawan/2022/12/1042525/oldtown-kopitiam-rancang-buka-50-cawangan-baru-tahun-depan