Kuala Lumpur, 6 Julai 2022,
Dalam usaha memberi inspirasi serta pendedahan berkaitan budaya dan nilai tradisional Malaysia, rantaian restoran kopitiam halal Oldtown Kopitiam dan pusat seni Global Art menjalin kerjasama strategik untuk mempamerkan lukisan di semua cawangan dalam negara.
Kerjsama dinamakan ‘Art of Oldtown’ itu didayakan melalui memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif OldTown Kopitiam Dawn Liew dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Art Mahair Goh hari ini.
Sesi tandatangani itu disaksikan oleh Pengerus Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Dr. Radzali Hassan.
Liew memaklumkan bahawa kerjasama dengan Global Art itu merupakan antara inisiatif bagi menyegarkan jenama OldTown Kopitiam dan mevariasikan strategi pemasaran untuk terus kekal relevan dalam pasaran.
Beliau berkata karya lukisan Global Art bertepatan dengan objektif baharu misi penyegaran jenama pihaknya iaitu penerapan nilai tempatan dalam setiap konsep rekaan dalaman premis OldTown Kopitiam.
“Idea untuk bekerjasama adalah hasil penyegaran jenama Oldtown (yang membabitkan) keseluruhan logo dan konsep rekaan dalaman.
“Apabila kami melihat DNA jenama ini, kami ingin dihubungkan dengan komuniti yang kami berikan perkhidmatan dan memikirkan cara terbaik untuk berkomunikasi serta membezakan jenama ini ialah dengan memilik mural atau beberapa bentuk karya seni bagi mewakili kawasan (khusus) di mana cawangan itu terletak,” katanya dalam sidang media selepas sesi itu di OldTown Kopitiam Sri Rampai di sini.
Radzali pula menzahirkan sokongan penuh terhadap OldTown Kopitiam dan Global Art, yang juga merupakan ahli MFA, bagi usaha mereka untuk menarik minat pelanggan serta meningkatkan kesedaran bagi kedua-kedua jenama.
Beliau berkata usaha dan kerjasama sebegini harus diterapkan dalam kalangan penggiat francais pada masa akan datang bagi menyokong pertumbuhan industri itu di negara ini.
“Ahli kami (MFA) adalah aset kami dan kami perlu melihat cara untuk menyokong dan merapatkan mereka dengan agensi-agensi yang relevan serta orang ramai.
“Justeru, ini adalah satu pencapaian yang kami banggakan. Kami amat menggalakkan ahli lain di bawah MFA untuk memulakan kerjsama dalam program seperti ini,” katanya.
Sumber: Bernama
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2098064