6 July 2022,
OldTown Kopitiam dan Global Art hari ini, menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik dalam memberi inspirasi serta pendedahan kepada masyarakat umum berkaitan budaya dan nilai tradisional Malaysia melalui karya lukisan oleh Global Art yang dipamerkan di outlet OldTown.
Ketua Pegawai Eksekutif OldTown Kopitiam, Dawn Liew berkata, usaha ini bukan sahaja memberi peluang serta sokongan kepada para karyawan untuk mempamerkan hasil karya mereka kepada pelanggan yang berkunjung ke cawangan OldTown, malah ianya merupakan salah satu inisiatif OldTown bagi menyegarkan jenama mereka serta mevariasikan strategi pemasaran untuk terus kekal relevan di dalam pasaran.
“Karya lukisan ini sangat bertepatan dengan objektif baru OldTown dalam misi penyegaran jenama iaitu menerapkan nilai tempatan di dalam setiap konsep rekaan dalaman premis dan ini adalah kali keempat OldTown menukar konsep rekaan dalamannya sejak mula beroperasi pada tahun 2005,” katanya pada sidang media sewaktu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman antara OldTown dan Global Art di cawangan OldTown Kopitiam Sri Rampai, Kuala Lumpur, hari ini.
Majlis MoU itu telah disempurnakan oleh Dawn Liew dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Art, Mahair Goh. Sesi tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Radzali berkata, pihaknya menyokong penuh usaha ini serta berpendapat bahawa aktiviti ini adalah sangat kreatif dan inovatif untuk menarik minat pelanggan serta meningkatkan brand awareness bagi kedua-dua jenama.
“Saya berharap agar usaha dan kerjasama sebegini di kalangan penggiat francais dapat dilaksanakan dengan lebih banyak lagi pada masa akan datang bagi menyokong pertumbuhan industri francais di negara ini,” ujarnya.
Selain itu, menurut Radzali, MFA mengambil berat dan memandang serius tentang kesan kenaikan harga barangan kepada perniagaan francais yang rata-ratanya sedang berusaha untuk menstabilkan semula perniagaan pasca Covid-19 dan pihaknya berharap agar kerajaan dapat menyediakan lebih banyak inisiatif khusus kepada penggiat industri francais dalam menghadapi cabaran ini.
Sumber: Niaga Times
Artikel Penuh: https://www.niagatimes.com/oldtown-kopitiam-global-art-jalin-kerjasama-sebar-inspirasi-melalui-lukisan/