Kuala Lumpur, 6 July 2022,
OldTown Kopitiam dan Global Art hari ini, menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik dalam memberi inspirasi serta pendedahan kepada masyarakat umum berkaitan budaya dan nilai tradisional Malaysia melalui karya lukisan oleh Global Art yang dipamerkan di outlet OldTown.
Menerusi jalinan kerjasama yang dinamakan sebagai “Art of OldTown” ini, OldTown telah bersetuju untuk memberi peluang kepada karyawan di bawah Global Art untuk mempersembahkan karya seni mereka di dinding beberapa outlet sedia ada OldTown seperti OldTown Sri Rampai dan akan dipanjangkan lagi ke lokasi-lokasi lain untuk kekal berhubungan bersama masyarakat setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif OldTown Kopitiam, Dawn Liew berkata, usaha ini bukan sahaja memberi peluang serta sokongan kepada para karyawan untuk mempamerkan hasil karya mereka kepada pelanggan yang berkunjung ke cawangan OldTown, malah ianya merupakan salah satu inisiatif OldTown bagi menyegarkan jenama mereka serta mevariasikan strategi pemasaran untuk terus kekal relevan di dalam pasaran.
“Karya lukisan ini sangat bertepatan dengan objektif baru OldTown dalam misi penyegaran jenama iaitu menerapkan nilai tempatan di dalam setiap konsep rekaan dalaman premis dan ini adalah kali Ke-4 OldTown menukar konsep rekaan dalamannya sejak mula beroperasi pada tahun 2005” katanya pada sidang media sewaktu Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman antara OldTown dan Global Art yang berlangsung di cawangan OldTown Kopitiam, Sri Rampai, hari ini.
Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif OldTown Kopitiam, Dawn Liew dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Art, Mahair Goh. Sesi tersebut turut disaksikan oleh Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr. Radzali Hassan.
Dalam pada itu, Datuk Dr. Radzali berkata, pihaknya menyokong penuh usaha ini serta berpendapat bahawa aktiviti ini adalah sangat kreatif dan inovatif untuk menarik minat pelanggan serta meningkatkan brand awareness bagi kedua-dua jenama.
“Saya berharap agar usaha dan kerjasama sebegini di kalangan penggiat francais dapat dilaksanakan dengan lebih banyak lagi pada masa akan datang bagi menyokong pertumbuhan industri francais di negara ini,” tambahnya.
Selain itu, menurut beliau, MFA mengambil berat dan memandang serius tentang kesan kenaikan harga barangan kepada perniagaan francais yang rata-ratanya sedang berusaha untuk menstabilkan semula perniagaan pasca Covid-19. Justeru, MFA amat berharap agar pihak kerajaan dapat menyediakan lebih banyak inisiatif khusus kepada penggiat industri francais dalam menghadapi cabaran ini.
Mengenai OldTown White Coffee
OldTown Kopitiam merupakan rantaian restoran kopitiam halal terbesar yang ditubuhkan pada tahun 2005. Sehingga kini, OldTown mempunyai 160 buah outlet yang beroperasi di seluruh negara, dan telah melebarkan sayap ke lebih 3 buah negara termasuk Singapura, Indonesia dan Hong Kong. OldTown menawarkan lebih daripada 100 produk yang menyelerakan dan memenuhi selera penggemar makanan tempatan seperti Roti Bakar, Hor Fun dan Nasi Lemak. Namun, yang paling istimewa dan mendapat tempat di hati penggemar OldTown adalah signature dish kami iaitu Nasi Lemak dan White Coffee.
Mengenai Global Art
Global Art ditubuhkan pada tahun 1999, dan diiktiraf sebagai jenama yang mempunyai sukatan pelajaran yang berkesan dan terbukti dalam memupuk disiplin pembelajaran dan pemikiran kreatif di kalangan kanak-kanak. Sebagai jenama seni terkemuka di 21 buah negara dengan lebih 600 pusat seni, Global Art menawarkan program seni lukis dan seni kraf yang mampu membina keupayaan intelektual, seni dan kreatif kanak-kanak di seluruh dunia. Global Art percaya bahawa seni mampu meningkatkan kreativiti dan menjadi faktor perkembangan minda dan potensi kanak-kanak serta mengoptimumkan keupayaan mereka.
Sumber: MREM
Artikel Penuh: http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16066