Petaling Jaya, 17 Mac 2022,
Nilai jualan syarikat francais telah meningkat sebanyak 9.7% kepada RM14.6 bilion pada 2022 daripada RM13.3 bilion yang dicatatkan pada 2019, menurut Laporan Tahunan Perniagaan Francais.
Timbalan Menterinya, Dato’ Rosol Wahid berkata, sebanyak 1,110 francais telah didaftarkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), manakala 68 jenama tempatan berjaya menembusi luar negara dan boleh didapati di 70 negara.
KPDNHEP ujar beliau, telah menerajui pembangunan francais negara melalui tadbir urus korporat dan peraturan industri yang selaras dengan fungsinya untuk membangunkan sektor perdagangan dalam negeri.
“Dalam usaha menggalakkan lebih ramai pihak terlibat dalam perniagaan francais, kementerian dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan program pembangunan francais.
“Antaranya ialah Program Pengukuhan Francais untuk meningkatkan eksport,” katanya semasa pelancaran menu baharu Oldtown White Coffee dan pakej francais semalam.
Jenama di bawah Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd itu menyasarkan untuk mengembangkan perniagaannya dengan membangunkan pakej francais baharu dengan modal pasaran antara RM50,000 hingga RM100,000 ke pasaran global dan ia dijangka bermula pada suku keempat tahun ini.
“Dengan adanya Program Francais Mikro dan Mampu Milik, kini bermodalkan tidak sampai RM100,000 diyakini lebih ramai berpeluang berniaga.
“Dengan adanya program ini, ia boleh memanfaatkan golongan 40% terbawah dan 40% pertengahan untuk meningkatkan taraf hidup dengan menjana pendapatan sebagai pemegang francais dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya mengulas pakej tersebut.
Sebanya 33 permohonan Geran Padanan (RM2.4 juta), manakala lapan permohonan Geran Penuh (RM0.84 juta) telah diluluskan sejak 14 Feb.
Sumber: Dagangnews.com
Artikel Penuh: https://dagangnews.com/nilai-jualan-syarikat-francais-rm146-bilion-naik-97-13885