21 Jun 2015 – Sinar Harian
Suhaime membuktikan, tanpa segulung ijazah juga boleh berjaya jika ada minat dan kesungguhan dalam kerjaya. Pada mulanya, Suhaime bekerja di sebuah kafe terkemuka di Kuala Lumpur sebagai tukang masak.
Selepas berhenti kerja di kafe tersebut, Suhaime memulakan kerjaya baharu sebagai pengurus latihan di Wonderful Lifestyle Sdn Bhd (Wonderful Lifestyle) yang mengendalikan kafe di bawah jenama Gloria Jean’s Coffees pada 2007.
Kini, Suhaime yang berasal dari Ampang, Selangor itu memiliki empat kafe Gloria Jean’s Coffees yang terletak di Subang Parade, Subang Jaya; Dataran Maybank, Bangsar; HSBC, Cyberjaya dan terbaharu di Hospital Pakar Seremban (KPJ Seremban), Negeri Sembilan.
“Pada awalnya memang saya kerja makan gaji, namun saya bernasib baik kerana menjadi staf pertama diberi kepercayaan untuk menguruskan Gloria Jean’s Coffees cawangan Subang Parade pada Julai 2012.
“Sebelum ini, kafe itu dikendalikan oleh Wonderful Lifestyle iaitu anak syarikat Perbadanan Nasional Berhad (PNS). Saya sebelum ini pernah bekerja sambilan di Gloria Jean’s sebagai barista ketika masih bergelar tukang masak,” katanya.
Tahun pertama mengendalikan Gloria Jean’s Coffees cawangan Subang Parade, Suhaime hampir berputus asa kerana kerugian sebanyak RM80,000.
“Ketika ini, saya rasakan menjadi usahawan bukan kehidupan saya. Saya punya rezeki adalah bekerja makan gaji kerana tidak perlu memikirkan soal gaji pekerja dan duit stok. Bekerja makan gaji lebih senang kerana cukup bulan, boleh dapat gaji,” katanya.
Bangkit semula
Namun, dek kata-kata semangat dan dorongan diberikan PNS dan Gloria Jean’s Coffees, Suhaime akhirnya bangkit meneruskan perniagaannya.
“Saya sedar, pengurusan tidak cekap dan pengurusan aliran tunai tidak betul membuatkan perniagaan saya mengalami kerugian besar.
“Kami terlalu banyak buat promosi dan beri diskaun kepada pelanggan supaya mereka berkunjung ke cawangan kami. Namun impaknya, memang jumlah pelanggan ramai, tetapi jualan kurang,” katanya.
Kesilapan itu menjadi pengajaran berharga buat Suhaime dan dia kembali bersemangat mengatur strategi untuk meningkatkan jualan Gloria Jean’s cawangan Subang Parade.
“Memandangkan cawangan Gloria Jean’s Coffees ini terletak dalam pusat membeli-belah, saya mula tukar konsep di sini iaitu daripada perkhidmatan layan diri kepada ‘table service’,” katanya.
Ternyata usaha Suhaime tidak sia-sia apabila dia berjaya meningkatkan keuntungan Gloria Jean’s Coffees cawangan Subang Parade sehingga kini.
“Sepanjang saya menguruskan cawangan itu, saya diberi cuti tanpa gaji selama dua tahun. Akhirnya saya berhenti kerja daripada Gloria Jean’s pada Januari tahun lalu,” katanya.
Pada 2014, Suhaime mula mengorak langkah meluaskan perniagaannya dengan membuka cawangan baharu di Dataran Maybank, Bangsar.
“Tahun ini, saya buka cawangan Gloria Jean’s Coffees di Bank HSBC Cyberjaya dan KPJ Seremban. Satu lagi cawangan akan dibuka di KPJ Rawang, pada Julai ini.
“Saya pernah mengimpikan untuk memiliki lima cawangan Gloria Jean’s pada usia 35 tahun. Alhamdulillah saya berjaya mencapainya,” katanya.
Suhaime juga merancang untuk membuka 10 cawangan Gloria Jean’s Coffees dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Saya berhasrat untuk buka cawangan baharu di KPJ di Muar, Johor; Ipoh, Perak dan Kuantan, Pahang,” katanya.