26 November 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 25 Nov. – KUB Malaysia Berhad (KUB) menafikan dakwaan restoran pandu lalu A&W di Petaling Jaya akan ditutup, sebaliknya premis pertama yang dibuka di Malaysia itu akan kekal beroperasi sampai bila-bila.
Pengerusi KUB, Datuk Seri Abd. Halim Abd. Samad berkata, tiada sebab untuk pihaknya menutup restoran tersebut kerana premis yang beroperasi 24 jam itu memiliki paling ramai pelanggan dan mampu meraih keuntungan RM500,000 sebulan.
Beliau berkata, pihak pengurusan KUB hanya merancang untuk mengubah suai bangunan restoran tersebut kerana premis itu telah beroperasi hampir 50 tahun sejak dibina pada 1965.
“KUB akan melantik sebuah badan penasihat bertauliah bagi membantu kita mengubah suai premis tersebut tanpa merosakkan struktur asal kerana banyak nilai sejarah terdapat di dalam dan sekeliling bangunan itu.
“Kita juga akan menggunakan khidmat badan penasihat bertauliah tersebut untuk membantu proses pembinaan Menara KUB yang bakal menjadi mercu tanda baharu syarikat,” katanya.
Beliau sebelum itu menyampaikan tajaan kepada Utusan Malaysia bernilai RM10,000 sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Operasi KUB, Datuk Dr. Zainal Abideen Salleh; Pengarah KUB Malaysia dan Thailand, Datuk Jamelah A. Bakar; Ahli Lembaga Pengarah KUB, Datuk Sohaimi Shahadan; Ketua Pegawai Eksekutif A&W (Malaysia) Sdn. Bhd., Samad Mohd. Shariff dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor.
Dalam perkembangan lain, Abd. Halim berkata, berdasarkan prestasi keuntungan tahun lalu yang memberangsangkan, pihaknya merancang untuk membuka lima cawangan baharu restoran A&W pada tahun depan.
Katanya, pembukaan cawangan baharu itu melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta selain merancang untuk membuka cawangan di Sabah dan Sarawak.