Sinar Harian – 6 Jun 2016
Model mempamerkan barisan koleksi Mylea Eksklusif Syawal 2016.
SYARIKAT fesyen busana Muslimah, Mylea Sdn Bhd (Mylea) menyasarkan jualan RM5 juta menjelang akhir tahun ini berbanding RM2.5 juta pada tahun lalu.
Pengarah Urusannya, Norazizah Jusoh berkata, ia dipacu strategi pasaran dilaksanakan dan usahanya mengembangkan syarikat itu melalui pembabitan secara aktif ejen-ejen melalui skim francais dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (PNS).
Menurutnya, syarikat menyasarkan sekurang-kurangnya 19 daripada 106 ejennya menjadi francaisi termasuk ejen dari Sabah dan Sarawak.
“Kami menerima banyak permohonan daripada ejen tetapi memilih ejen yang dilihat berpotensi. Kami menyasarkan menjadi francaisor dalam masa tiga tahun nanti, kini, kami menyertai Program Transformasi Perniagaan (BIT) yang disediakan PNS,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Koleksi Mylea Eksklusif Syawal 2016 di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir merasmikan majlis itu ialah Ketua Bahagian Operasi Perniagaan PNS, Shamsudin Amir dan Pengasas Mylea, Abdul Wahab Ismail.
Norazizah berkata, jenama Mylea juga kini menembusi pasaran Brunei dan Singapura.
“Mylea juga akan memasuki pasaran Indonesia, kami masih dalam perbincangan. Kami menjangkakan Mylea akan memasuki pasaran negara tersebut menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Norazizah berkata, syarikat tidak berhasrat menambah cawangan Mylea dan hanya memfokuskan kepada cawangannya yang terletak di Kuantan, Pahang.
“Saya optimis adanya 106 ejen Mylea di seluruh negara, ia akan membantu jualan Mylea. Malah, melalui pakej francais, syarikat memperkenalkan dua kategori iaitu kios dan push cart,” katanya.
Tambahnya, Mylea adalah satu-satunya syarikat pengeluar dan pengedaran tudung secara francais di Malaysia.
Mengulas mengenai Koleksi Mylea Eksklusif Syawal 2016, Norazizah berkata, syarikatnya mengeluarkan lima koleksi iaitu Hawa Durani, Hawa Kayla, Hawa Wafa, Hawa Izara dan Hawa Alamy serta koleksi printed iaitu Hawa Jumani.
“Syarikat menyediakan 1,000 helai bagi setiap koleksi dengan menggunakan jenis kain berkualiti premium dan aksesori yang diimport bagi memenuhi permintaan pelanggan. Koleksi Hawa mengetengahkan enam rekaan tersebut dengan variasi warna melebihi 60 warna dan corak.
“Cara pemakaiannya sangat mudah hanya memerlukan 30 saat sahaja dan menggunakan kain berkualiti premium yang boleh mengikut bentuk wajah pemakainya. Ia boleh dibasuh menggunakan mesin basuh kerana tidak merosakkan kualiti kain,” katanya.
Mylea memasuki pasaran sejak 2010 kini merupakan peneraju tudung di Pantai Timur dengan menawarkan harga tudung serendah RM49 sehingga RM129.
URL : http://www.sinarharian.com.my/bisnes/mylea-sasar-rm5-juta-1.528763