1 November 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 31 Okt. – Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menerima Hadiah Penghargaan Khas sempena Anugerah Francais Malaysia 2014), anjuran Persatuan Francais Malaysia (MFA).
Pada majlis itu, Marrybrown Sdn. Bhd. dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Francais Terbaik 2014 daripada 15 jenama francais yang disenarai pendek ke peringkat akhir penganjuran AFM 2014 kali ke-17 dan turut merangkul dua lagi anugerah iaitu Francaisor Terbaik dan Francaisor Antarabangsa Terbaik.
Majlis penyampaian anugerah kepada pemenang utama disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek pada Malam Anugerah Francais Malaysia di sini malam ini.
Hasan dalam ucapannya berkata, perniagaan melalui sistem francais telah mengubah landskap industri di negara-negara maju yang lain dan telah terbukti menjadi satu daripada kaedah meluaskan perkhidmatan serta produk.
“Secara keseluruhannya, perniagaan melalui sistem francais akan mewujudkan tahap yang lebih tinggi bagi industri peruncitan dan pengurusan perkhidmatan, meningkatkan produktiviti, mewujudkan pengagihan yang lebih cekap dan secara tidak langsung dapat menghasilkan ekonomi yang didorong oleh pengguna yang lebih besar,” katanya.
Yang turut hadir, Pengerusi MFA, Datuk Mohd. Latip Sarrugi.
Hasan berkata, sebagai tanda sokongan kerajaan untuk melihat perniagaan secara francais berkembang dengan lebih pesat, kerajaan telah mengambil inisiatif merangka Pelan Strategik Francais Negara melalui fasa kedua pada 2014 hingga 2016.
“Menerusi pelan ini, sejumlah 59 indeks petunjuk prestasi (kpi) dan 31 strategi telah dirangka khusus untuk mencapai matlamat dan visi bagi menjadikan industri francais negara lebih dinamik di peringkat domestik dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hub francais bagi rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2020,” katanya.
Sementara itu, Mohd Latip menyeru para media untuk mewujudkan lebih banyak ruangan fokus francais bagi memberi peluang penggiat industri berkenaan mendapatkan sokongan dari banyak pihak.