16 Jun 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 15 Jun – Myhomme Group Resources (M) Sdn. Bhd.(Myhomme Group), pengendali pusat cucian AquaNano menyasarkan membuka sebanyak 25 cawangan lagi di seluruh negara menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 100 cawangan menjelang akhir tahun ini.
Naib Presiden Strategi Korporatnya, Amran Shah Idris berkata, pada masa kini 75 cawangan francais AquaNano sudah beroperasi di seluruh Malaysia termasuk di semua negeri kecuali Sabah.
Katanya, syarikat turut merancang untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan mensasarkan empat negara iaitu China, Singapura, Indonesia dan Filipina.
Menurutnya, rancangan berkenaan dilihat berpotensi tinggi setelah pihaknya meneliti dan membuat tinjauan ke atas negara-negara tersebut dipacu perkembangan industri cucian pakaian memberangsangkan di sana.
“Penambahan cawangan dalam tempoh lima tahun sejak ia beroperasi pada 2009 amat baik ekoran kos pelaburan bagi membuka setiap cawangan hanya memerlukan kos di antara RM76,000 sehingga RM310,000 bergantung kepada konsep, lokasi dan saiz pusat cucian.
“Dari segi keuntungan pula, bagi konsep biasa iaitu menggunakan mesin serta memerlukan tenaga pekerja, pendapatan boleh dijana sekurang-kurangnya RM5,000 sebulan manakala konsep layan diri menggunakan syiling mampu memberikan pulangan untung bulanan minimum sebanyak RM10,000,” katanya ketika ditemui di Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2014 di sini hari ini.
Tambah Amran Shah, bagi menambah keunikan pusat cucian pakaian itu, pihaknya juga kini sedang giat mempromosikan konsep terbaharu yang menampilkan kafe di dalam kedai dobi dengan penambahan modal sebanyak RM65,000 sahaja.
“Konsep kafe sememangnya mendapat sambutan hangat dalam kalangan pelanggan berikutan ia memberi peluang kepada mereka untuk makan dan minum selain dapat mengelak kebosanan sementara menunggu cucian habis,” katanya.
Beliau berkata, bagi menggalakkan masyarakat terutama bumiputera menyertai perniagaan, Myhomme Group turut menawarkan kelebihan kepada francaisi termasuk yuran francais serendah RM10,000 tanpa bayaran royalti bulanan seperti yang selalu dikenakan produk francais lain.
“Dengan menjadi francaisi, mereka bukan sahaja dapat mengendalikan perniagaan sendiri, malah tidak perlu risau tentang penerimaan pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kerana kebanyakannya sudah bertapak di pasaran sebelum ini.
“Bagi francaisor pula, sistem ini dapat membantu melebarkan penjenamaan mereka ke kawasan atau lokasi yang tidak pernah dimasuki dan sekali gus dapat membina satu jaringan mantap dengan francaisi dalam memperkenalkan perniagaan mereka,” katanya.