KUALA LUMPUR, 23 Ogos 2024,
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan melebihi RM34 juta hasil Misi Perniagaan Khas Francais ke London, United Kingdom (UK) pada 13 hingga 17 Ogos lalu.
Ketua Setiausaha KUSKOP Datuk Seri Suriani Ahmad berkata misi berkenaan disertai lapan usahawan francais Malaysia iaitu syarikat UCMAS, Little Caliph, Marrybrown, Global Art, CIC Where Leaders Are Born, Q-Dees, Beard Brothers dan EL&N.
“Kami berharap dengan adanya kerjasama strategik ini, usahawan francais Malaysia akan dapat memanfaatkan peluang-peluang yang tersedia untuk berkembang lebih jauh di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suriani yang mengetuai misi berkenaan berkata lawatan itu juga bertujuan membuka ruang perbincangan yang lebih mendalam antara usahawan Malaysia dan UK serta mencari jalan untuk memanfaatkan potensi dan peluang pasaran di kedua-dua negara.
Beliau berkata KUSKOP komited untuk membantu usahawan Malaysia terutama dalam menyediakan emudahan dan sokongan yang diperlukan bagi menembusi pasaran antarabangsa, selain meningkatkan persefahaman antara kedua-dua negara dalam usaha untuk terus merancakkan sektor francais serta perniagaan selaras dengan hasrat
Malaysia MADANI.
Antara pengisian misi ini adalah pertemuan dengan pihak industri, diaspora Malaysia dan Malawakil Malaysia di London, lawatan kerja ke Battersea, Café EL&N milik syarikat francais dari UK yang mempunyai cawangan di Malaysia serta Meet Bros Steakhouse iaitu usahawan francais Malaysia yang beroperasi di negara itu.
Turut diadakan perbincangan meja bulat bersama kesemua lapan usahawan syarikat francais bagi merangka strategi potensi francais di UK, kata Suriani.
–BERNAMA
Sumber: BERNAMA
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news_bajet.php/news.php?id=2332457