Kuala Lumpur, 2 November 2023,
Misi perdagangan francais ke Ho Chi Minh, Vietnam bersempena Pameran Antarabangsa The 14th Vietnam International Retailtech & Franchise Show 2023 (VIETRF 2023) dijangka meraih pelaburan mencecah RM40 juta.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu kenyataan berkata, misi perdagangan bermula 2 hingga 4 November itu adalah program pengembangan francais yang dilaksanakan di bawah Program Pengukuhan Francais bagi Meningkatkan Eksport (EFDP).
“Misi kali ini adalah misi perdagangan kelima yang dijadualkan pada tahun ini selepas Melbourne, Bangkok, Jakarta dan Turkiye.
“Untuk pengetahuan, sebanyak 360 jenama tempatan dan syarikat dari seluruh dunia dengan lebih 14,000 pengunjung hadir ke pameran VIETRF 2023,” katanya.
Delegasi KPDN diketuai oleh Pengarah Kanannya, Mohammad Sanusi Abdul Karim.
Turut serta, Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh, Firdauz Othman dan Naib Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Mohamad Shukri Salleh.
Selain wakil daripada KPDN, delegasi itu turut disertai oleh MFA dan sembilan syarikat francais terkemuka tempatan seperti Marrybrown, US Pizza, Q-Dees, HOME Math Therapy, Smart Reader Kids, Laundrybar, MEIKO, Midyson dan Sangkaya.
“KPDN akan membawa lebih banyak produk francais tempatan yang mempunyai kelainan tersendiri untuk dipasarkan ke peringkat antarabangsa. Di peringkat global, jenama francais Malaysia juga telah berkembang sebagai jenama terkemuka di seluruh dunia, dengan lebih daripada 70 jenama di 80 negara.
“VIETRF 2023 adalah platform terbaik untuk usahawan francais tempatan mengembangkan perniagaan francais ke pasaran strategik di rantau ASEAN,” kata KPDN.
KPDN berkata, kementerian itu optimis syarikat yang menyertai misi perdagangan ke Ho Chi Minh akan mendapat hasil bagi pulangan pelaburan kepada negara.
“Ia adalah selaras dengan sasaran potensi pelaburan yang ditetapkan sebanyak RM40 juta bagi kesemua 12 syarikat yang menyertai misi perdagangan ini,” katanya.
Dalam program yang sama di VIETRF 2023, Mohammad Sanusi juga mempengerusikan mesyuarat perniagaan bersama pihak Dewan Perniagaan Malaysia-Vietnam (MBC).
Pada mesyuarat berkenaan itu, beberapa isu berkaitan francais dibangkitkan bagi dibincangkan dan diselesaikan bersama.
Selain itu, delegasi Malaysia turut mengadakan beberapa program kerja seperti pertemuan dengan pihak Konsul Jeneral Malaysia di Ho Chi Minh, Investment and Trade Promotion Centre (ITPC) Vietnam dan lawatan ke cawangan jenama francais Malaysia yang telah menembusi pasaran Vietnam iaitu Global Art.
Sumber: Berita Harian
Artikel Penuh: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2023/11/1172711/misi-francais-ke-vietnam-sasar-pelaburan-rm40-juta