17 Jun 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 17 Jun – Konsep mikro francais menjadi tarikan pada Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia 2014 (FIM 2014) dengan mencatat peningkatan bakal francaisi seramai 1,560 orang, kenaikan kira-kira 16 peratus berbanding FIM 2013.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Datuk Mohd. Latip Sarrugi berkata, peningkatan kepada jumlah bakal usahawan francaisi menunjukkan usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memberikan pendedahan kepada masyarakat mengenai peluang perniagaan francais serta promosi kepada konsep francais mikro melalui program-program yang dianjurkan menampakkan impaknya.
Katanya, dengan nilai pelaburan di bawah RM50,000 bagi pakej francais mikro, nilai transaksi perniagaan pada FIM 2014 adalah sebanyak RM364 juta.
“Penyertaan syarikat-syarikat francaisor yang menawarkan konsep dengan modal sederhana serta francais mikro menjadi pilihan dalam kalangan bakal-bakal usahawan. Dengan modal yang rendah, francaisi akan diberikan bimbingan bagi memajukan perniagaan yang berskala kecil.
“Bukan itu sahaja, francais mikro adalah model perniagaan mampu milik khususnya bagi mereka yang pertama kali ingin menjadi usahawan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
FIM 2014 telah berlangsung pada Jumaat hingga kelmarin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dianjurkan dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Menurut Mohd. Latip, FIM 2014 bukan sahaja berperanan sebagai platform untuk membangunkan industri francais tempatan tetapi sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab francais di Asia Tenggara menjelang 2020.
Beliau menambah, selain permintaan usahawan tempatan, para pengunjung antarabangsa turut menunjukkan minat pelaburan kepada jenama francais tempatan antaranya dari Arab Saudi, Iran, China, Nigeria, Singapura, Filipina dan Thailand.
Sebanyak 118 ruang pameran telah disediakan pada pemeran itu dengan lebih 20 peratus penyertaan adalah jenama antarabangsa dari Amerika Syarikat, Korea, Filipina, Australia, Indonesia, Taiwan dan Singapura.