Kuala Lumpur, 16 November 2020,
Persatuan Francais Malaysia (MFA) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menganjurkan ekspo e-dagang antarabangsa secara bersiri, Malaysia Digital Franchise Expo 2020 (MyDigiFex) mulai bulan ini.
Ia antara usaha untuk mengembangkan jenama francais tempatan ke peringkat antarabangsa sejajar dengan norma baharu berikutan pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada masa ini.
Pengerusi MFA Datuk Dr Radzali Hassan berkata penularan pandemik berkenaan tidak menghalang persatuan itu untuk membantu perniagaan francais berkembang ke pasaran antarabangsa meskipun kebanyakan negara masih menutup pintu sempadannya.
“MFA bersama-sama kementerian sentiasa mencari alternatif bagi membantu para usahawan francais untuk terus kekal bersaing dan mampu bertahan dalam situasi ekonomi kini.
“Oleh itu, MyDigiFex secara digital yang merupakan antara aktiviti di bawah Program Pengukuhan Francais Bagi Meningkatkan Eksport (EFDP) dilihat amat bersesuaian dilaksanakan pada masa kini untuk membantu francaisor tempatan berhubung terus dengan pelabur berpotensi dari luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siri penganjuran MyDigiFex yang bermula hari ini sehingga 18 Nov 2020 adalah untuk pasaran Timur Tengah, manakala pasaran Eropah pada 23 sehingga 25 November 2020 dan seterusnya ke pasaran Jepun dan Korea Selatan, Benua Afrika, Australia dan New Zealand pada Disember 2020.
Menurutnya program ini akan melibatkan penyertaan 14 syarikat francaisor dengan jangkaan potensi pelaburan sebanyak RM75 juta di lima negara dalam tempoh 12 bulan.
Radzali berkata MFA percaya MyDigiFex akan dapat meningkatkan bilangan jenama tempatan dan outlet di peringkat antarabangsa pada masa hadapan dan menurutnya penganjuran program itu diadaptasi daripada Program Misi Pemadanan Perniagaan Francais yang dianjurkan di bawah Program EFDP pada tahun sebelum ini.
“Memandangkan kebanyakan negara masih bergelut dengan COVID-19, sokongan kepada ahli MFA perlu diteruskan dalam mempromosikan perniagaan mereka ke luar negara.
“Strategi pengantarabangsaan perniagaan francais melalui program ini akan membantu penggiat francais tempatan untuk terus kekal berdaya saing, sekali gus menempatkan jenama mereka di pasaran antarabangsa bagi memenuhi permintaan global terutamanya ke pasaran rantau ASEAN serta negara-negara maju,” katanya.
Mengulas selanjutnya, Radzali berkata antara pencapaian program EFDP sejak dilaksanakan pada 2016 adalah jenama Marrybrown yang berjaya menembusi pasaran di Jepun dan Sweden, outlet Global Art & Creative di Jepun dan Morocco, manakala perniagaan Manhattan Fish Market berjaya membuka outlet di Jordan dan Mauritius.
Setakat ini, sebanyak 66 jenama francais tempatan telah berjaya menembusi pasaran di 65 negara.
Sumber: Bernama
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=1901920