Berita Harian – 30 Mei 2016
KETUA Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Jamil Salleh (dua dari kanan) diiringi Pengarah Urusan Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Datuk Syed Kamarul Zaman (kanan), Ketua Pengarah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner (kiri) dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohamad Fitri Hassan (dua dari kiri) di Majlis Perasmian Program Francais Komuniti Zon Utara 2016 di Aeon Big, Jalan Gangsa. – Foto Shahrul Hafiz Zam
ALOR SETAR: Sebanyak 813 sistem francais membabitkan pelbagai sektor telah didaftarkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerusi Program Francais Komuniti sejak 2011.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Jamil Salleh, berkata jumlah berkenaan direkodkan pihaknya sejak 2011 hingga 10 April lalu.
“Program itu bagi membantu usahawan francais tempatan mengembangkan perniagaan sebagai francaisor. Ia memberi peluang orang ramai membabitkan diri dalam perniagaan sebagai francaisi tanpa perlu mencipta perniagaan baharu,” katanya pada majlis perasmian Program Francais Komuniti Zon Utara di sini.
Dilancarkan pada Oktober 2011, program berkenaan diperkenalkan dengan tujuan membuka peluang kepada masyarakat berpendapatan rendah dan sederhana menceburi perniagaan francais mikro melalui pakej francaisi oleh syarikat tempatan.
Ia bermodal antara RM5,000 hingga RM50,000 bergantung pada jenis perniagaan.
Jamil berkata, melalui melalui penganjuran Franchise International Malaysia (FIM) 2016 awal Mei lalu pula, sebanyak RM371 juta pelaburan telah dicatatkan oleh 78 syarikat melalui 926 potensi francaisi.
“Ia menunjukkan peningkatan bilangan potensi francaisi sebanyak 19.7 peratus berbanding tahun lalu. KPDNKK turut mengenal pasti beberapa faktor berlakunya kekurangan penyertaan masyarakat dalam bidang francais seperti kekurangan modal dan pembiayaan.
“Kita sedar perkara itu dan wujudkan program pembangunan francais seperti francais komuniti secara khusus dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
“Perniagaan francais dengan konsep skim francais mikro hanya memerlukan modal tidak melebihi RM50,000. Ini usaha kerajaan untuk menggalakkan syarikat mewujudkan pakej francais yang mampu diceburi segenap lapisan masyarakat,” katanya.
Katanya, pakej yang disediakan oleh kerajaan diharap dapat membantu golongan belia, wanita, ibu tunggal dan pesara meningkatkan pendapatan menerusi sistem francais.
Jamil berkata, program francais zon utara yang bermula sejak semalam hingga hari ini membabitkan 19 syarikat francais dan prafrancais yang menawarkan pelbagai peluang perniagaan kepada masyarakat di negeri ini. – BERNAMA