30 April 2016 – Franchise International Mal
KUALA LUMPUR – Beberapa jenama francais Korea kini mengorak langkah mengembangkan pasarannya di Malaysia berikutan penerimaan masyarakat setempat dengan produk dan perkhidmatan dari negara tersebut. Tahun ini, 8 jenama francais dari Korea akan menyertai Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM2016). FIM2016 anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama Persatuan Francais Malaysia (MFA) menjangkakan Korea bakal menyumbang nilai besar dalam sasaran transaksi pelaburan keseluruhan yang bernilai RM370 juta disebabkan permintaan tinggi produknya di Malaysia.
Antara syarikat dan jenama francais Korea yang akan menyertai pameran FIM2016 dari 6-8 Mei ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur ialah Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corporation, Mr.Pizza, Huromjuice, Seorae Galmaegi, Mapo Galmaegi dan Nolboo Budaejjigae. Jenama-jenama francais yang terdiri daripada sektor makanan ini menawarkan konsep perniagaan francais kepada pengunjung serta bakal-bakal francaisi yang ingin menceburi dan mencari peluang perniagaan francais.
Bersempena dengan penganjuran FIM2016 ini juga, satu persidangan antarabangsa akan diadakan pada 7 Mei 2016 bagi membincangkan isu-isu semasa dan perkembangan terkini berkenaan industri francais tempatan dan luar negara. Seramai 300 orang peserta dari pelbagai latar belakang serta yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang francais disasarkan untuk menyertai persidangan kali ini.
Persidangan antarabangsa pada kali ini yang bertemakan ‘Back to basic’ menekankan aspek asas dalam perniagaan francais secara menyeluruh. Program ini akan membentangkan 5 topik Utama yang akan dibincangkan oleh 15 pembentang dari luar dan dalam negara. Antara pembentang antarabangsa yang akan membentangkan kertas kerja di persidangan ini adalah dari Korea sendiri iaitu Prof. Hark Bae, Ketua Pegawai Eksekutif, Seoul Franchise Global Institut. Beliau akan berkongsi informasi dan maklumat mengenai peluang pasaran francais di Korea serta pengalaman kejayaan dan cabaran bagi industri francais di Korea menembusi pasaran antarabangsa. Selain itu, beliau juga akan berkongsi tips mengenai cara mengenalpasti potensi pasaran sasaran serta medium bagi mengembangkan perniagaan francais ke luar negara.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia, Datuk Mohd Latip Sarrugi berkata, “Penganjuran Persidangan Francais Antarabangsa ini memberi unjuran positif kepada penggiat francais tempatan kita dengan pendedahan kepada realiti sebenar industri francais oleh para pembentang berpengalaman dari dalam dan luar negara”.
Persidangan antarabangsa ini adalah platform terbaik bagi bakal-bakal usahawan dan juga usahawan-usahawan sedia ada yang berminat untuk mengetahui lebih mendalam mengenai perniagaan francais. Oleh yang demikian, semua yang berminat untuk menyertai persidangan antarabangsa ini disarankan untuk mendaftarkan diri oleh kerana tempat yang disediakan adalah terhad.
Program FIM2016 yang dianjurkan oleh MFA dan KPDNKK ini membawa tema ‘Leap Beyond the Limits’, dan akan bermula pada 6 hingga 8 Mei 2016 sementara persidangan akan diadakan pada 7 Mei 2016. Untuk maklumat lanjut berkenaan program FIM2016 boleh layari lawan web seperti berikut www.mfa.org.my/fim2016 .
URL: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1240768