BERNAMA – 18 Februari 2016
KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) — Persatuan Francais Malaysia (MFA) berhasrat untuk mengembangkan cawangan francais tempatan sehingga 10 hingga 15 peratus dalam tahun ini bagi memanfaatkan peluang di luar negara.
Pengerusinya, Datuk Mohd Latip Sarrugi, berkata daripada 2,400 kedai dengan jenama yang berbeza, kira-kira 300 dijangka mengembangkan perniagaan mereka khususnya ke dalam pasaran ASEAN.
“Terdapat peruntukkan sebanyak RM2 juta di bawah Penambahan Program Pembangunan Francais (EFDP) bagi membantu syarikat-syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka di luar negara.
“Setakat ini, 61 francaisor telah mengembangkan perniagaan atau jenama mereka ke dalam 55 negara,” katanya kepada pemberita selepas bengkel EFDP di sini hari ini.
EFDP adalah program yang diasaskan untuk memupuk dan menggalakkan pertumbuhan eksport francais ke negara-negara luar melalui aktiviti yang dianjurkan oleh MFA.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Susila Devi, berkata EFDP bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peluang kepada francais Malaysia untuk berkembang ke pasaran antarabangsa dan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran mereka dalam strategi penembusan pasaran.
“Terdapat banyak jenama francais yang berjaya dari Malaysia, di antaranya ialah Marrybrown, Secret Recipe, D’Tandoor, Smart Reader dan Global Art Creative.
“Kami percaya francais tempatan yang lain juga mempunyai potensi yang besar untuk meneroka pasaran antarabangsa memandangkan bahawa kini terdapat lebih 50 francais Malaysia di 55 buah negara,” kata beliau, sambil menambah bahawa mereka telah menjenamakan nama negara sehingga ke peringkat global.
Beliau ketika bercakap mengenai kesan ekonomi semasa dan kelemahan ringgit pada industri francais, menjelaskan : Ia masih berdaya tahan berikutan permintaan dari ASEAN akan terus memacu pertumbuhan.
“Kami mempunyai permintaan dari Myanmar, India dan Chile untuk industri francais, terutamanya dalam sektor penjagaan kesihatan, pendidikan, spa serta pembinaan dan kami berharap francaisor tempatan akan merebut peluang ini,” katanya.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1216386