21 May 2014 – Malaysia Gazette
PERSATUAN Francais Malaysia (MFA) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mensasarkan nilai potensi pelaburan francais sebanyak RM370 juta sepanjang berlangsungnya Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2014 selama tiga hari bermula 13 Jun ini.
Timbalan Menteri KPDNKK, Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, nilai potensi pelaburan francais itu disasar disumbangkan hasil penjualan sistem francais yang terdiri daripada 130 pempamer dari syarikat tempatan dan antarabangsa.
“FIM2014 merupakan pusat sehenti merangkumi jenama francais terkemuka, agensi kerajaan, institusi kewangan, perunding serta peguam francais di bawah satu bumbung.
“Pameran kali ke 21 ini bakal diadakan dari 13 hingga 15 Jun 2014 bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Sehingga kini, sebanyak 90 peratus daripada ruang pameran tersebut telah pun diisi oleh syarikat francais tempatan dan antarabangsa,”katanya pada sidang media majlis penyerahan cek penaja FIM 2014 di sini.
Antara syarikat yang menyampaikan sumbangan penajaan bagi FIM 2014 adalah Snogurt Sdn Bhd, Perbadanan Nasional Behad (PNS), Rakyat Management Sdn Bhd (Ar-Rahnu X’Change), Marrybrown Sdn Bhd dan Naza Tutti Frutti (M) Sdn Bhd.
Katanya, sasaran itu berdasarkan kejayaan FIM2013 yang mencatat potensi urus niaga sebanyak RM368 juta melalui penjualan sistem francais kepada 1,340 bakal francaisi.
“Selain pameran, persidangan antarabangsa turut akan diadakan pada hari kedua FIM2014 dengan 11 penceramah terdiri daripada penggiat francais tempatan dan luar negara.
“Bakal usahawan yang berminat untuk menceburi perniagaan francais dijemput hadir untuk mengambil peluang serta mengetahui lebih lanjut tentang sektor perniagaan francais yang diminati kerana kemasukan ke pameran FIM2014 adalah percuma,” katanya.