Kuala Lumpur, 22 Jan 2024,
Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM600 juta pada Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM2024) yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.
Pengerusi MFA Datuk Radzali Hassan berkata lebih 30,000 pengunjung dijangka mengunjungi pameran tersebut yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 30 Mei 2024.
“Sehingga kini, lebih 70 peratus daripada 240 reruai yang disasarkan telah diisi oleh syarikat francais dan organisasi yang turut menyumbang kepada ekosistem
francais.
Selain jenama tempatan, FIM turut menarik minat pempamer dari Jepun, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, China, India dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
“Saya percaya penyertaan program seumpama ini merupakan antara langkah terbaik untuk mengukuhkan dan meluaskan jaringan perniagaan di peringkat tempatan bahkan antarabangsa,” katanya semasa merasmikan Majlis Pra-pelancaran FIM2024 hari ini.
Radzali berkata FIM2024 kali ini membawa kelainan dengan mengadakan Mesyuarat Tahunan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC) dan World Franchise
Council (WFC) yang akan mengumpulkan wakil persatuan francais dari lebih 40 negara.
“Malaysia sekali lagi menjadi hos untuk mesyuarat ini setelah kali terakhir menjadi tuan rumah pada 2013,” katanya.
Turut diadakan Malam Anugerah Francais 2024 untuk seluruh penggiat industri itu, termasuk pengiktirafan sebagai Francais Terbaik 2024. Terdapat 21 kategori
anugerah yang telah disenaraikan untuk pencalonan kali ini.
Pada sidang media, Radzali berkata pihaknya memberi sokongan penuh terhadap Dasar Francais Negara yang bakal dilancarkan pada suku pertama tahun ini.
“Kami (MFA) nampak hala tuju tersebut, mungkin kita akan mewujudkan hala tuju industri francais sehingga 2030 untuk memantapkan lagi industri ini,” katanya.
Penganjuran FIM kali ke-31 ini disokong sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Perbadanan Pembangunan
Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Sumber: BERNAMA
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2264568