24 Jun 2015 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 23 Jun – Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan untuk mengembangkan penembusan jenama francais tempatan ke negara-negara ASEAN kepada 40 peratus menjelang 2020, berbanding 20 peratus ketika ini.
Pengerusinya, Datuk Mohd. Latip Surrugi berkata, sasaran tersebut sejajar dengan hala tuju menjadikan Malaysia sebagai pusat francais di rantau Asia Tenggara dan Asia Timur bagi tempoh yang sama.
Katanya, antara jenis francais yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan terbabit adalah daripada sektor perkhidmatan, pendidikan dan makanan dan minuman (F&B).
“MFA mempunyai jaringan yang efektif dan mampan antara negara-negara ASEAN dan Pasifik terutamanya dengan kedatangan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) yang diterajui oleh Malaysia.
“Oleh itu, kita dihadapkan dengan fenomenan-fenomena baharu untuk menjayakan bersama Pelan Tindakan Komuniti Ekonomi Asean,” katanya selepas Majlis Mesyuarat Agung MFA di sini hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
Sementara itu, Mohd. Latip berkata, sehingga kini terdapat 60 jenama francais Malaysia telah bertapak di 55 negara dengan hampir 2,160 cawangan di seluruh dunia.
Menurutnya, MFA berharap dapat meningkatkan jumlah cawangan francais di luar negara sehingga 40 cawangan setiap tahun bermula tahun ini.
“Oleh itu, hubungan baik di antara francaisor dengan francaisi mereka di seluruh dunia hendaklah dipastikan baik setiap masa.
“Ini bermakna francaisor Malaysia hendaklah mempunyai daya saing, daya transformasi berterusan, modal insan yang mantap di peringkat antarabangsa dan mempunyai ekosistem francais yang terkini,” ujarnya.
Pada majlis tersebut, Mohd. Latip yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang francais telah mengekalkan jawatannya tanpa bertanding.
– See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/mfa-sasar-40-francais-tempatan-di-asean-1.106335#sthash.M5B4wWMR.dpuf