Kuala Lumpur, 27 Jun 2023
Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan lebih 100 pencalonan bagi semua kategori anugerah yang bakal
dipertandingkan pada Malam Anugerah Francais ke-25 yang akan diadakan pada Oktober depan.
Pengerusi MFA Datuk Radzali Hassan berkata, penganjuran anugerah itu merupakan manifestasi penghargaan kepada penggiat industri tempatan yang berusaha mengekalkan prestasi cemerlang bagi memastikan mereka setanding jenama global.
“Bagi mengekalkannya sebagai anugerah berprestij tinggi dan sentiasa menjadi pilihan utama penggiat francais, pemenang anugerah akan dipilih oleh panel penilai berkecuali yang terdiri daripada profesional dan pengamal akademik yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan industri francais,” katanya pada sidang media majlis pelancaran anugerah tersebut yang dianjurkan bersempena persidangan Mesyuarat Agung MFA kali ke-28.
Radzali berkata kategori yang bakal dipertandingkan adalah kategori utama, kategori sistem francais, kategori francaisor, kategori francaisi, kategori terbuka dan kategori media.
Majlis anugerah tersebut bakal mengiktiraf 20 pemenang daripada enam kategori utama tersebut yang dipertandingkan merangkumi pelbagai sektor dalam ekosistem industri francais.
“Bermula dengan hanya lima kategori yang disenaraikan pada awal penganjuran, kini Anugerah Francais Malaysia telah mengiktiraf lebih 100 syarikat dan individu selain menjadi tanda aras kepada sektor francais serta anugerah antarabangsa,” katanya.
Anugerah tersebut merupakan program tahunan dengan sokongan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan pencalonan dibuka bermula hari ini sehingga 31 Julai 2023.
Sumber: Bernama
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/ekonomi/news.php?id=2201762