Kuala Lumpur, 13 Ogos 2024,
Persatuan Francais Malaysia (MFA) akan membawa beberapa jenama francais tempatan ke Misi Khas Perniagaan Francais yang akan diadakan di Hotel InterContinental London Park Lane, London pada 15 Ogos 2024.
Antara jenama francais yang menyertai misi ini adalah Marrybrown, CIC Where Leaders Are Born, Global Art, UCMAS, Little Caliphs dan Q-Dees.
Program ini dijangka dirasmikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Seri Suriani Ahmad.
Menurut Pengerusi MFA, Datuk Dr. Radzali Hassan dalam kenyataannya berkata, MFA sangat komited dalam membantu usahawan francais tempatan mengembangkan perniagaan mereka di dalam dan luar negara.
Pelbagai inisiatif yang akan dilaksanakan bersama pihak KUSKOP dan Pernas dalam memperkasakan industri francais Malaysia termasuk perlaksanaan Enhanced Franchise Development Program (EFDP) ini.
Selain program Misi Khas Perniagaan Francais ini, MFA juga giat melaksanakan program Misi Perdagangan Francais yang juga merupakan aktiviti utama di bawah program EFDP.
“Sehingga Disember 2023, program di bawah EFDP ini telah berjaya menjana lebih RM1.73 billion.
“MFA optimis jumlah ini akan meningkat saban tahun selari dengan pertambahan program yang akan dilaksanakan dari masa ke semasa,” menurutnya.
Radzali berkata, para usahawan francais dan MFA sangat menghargai pertimbangan pihak kerajaan ke atas bajet yang diperuntukkan buat industri ini dan berharap industri ini akan terus diberi tumpuan pada pembentangan bajet 2025 memandangkan ia juga merupakan salah satu sektor yang menyumbang kepada ekonomi negara.
Misi ini turut disertai oleh beberapa syarikat di bawah Perbadanan Nasional Berhad (Pernas). MFA akan melaksanakan beberapa misi perdagangan dan misi khas perniagaan francais sehingga hujung tahun ini ke Singapura, Dubai, Vietnam dan Arab Saudi.
Sumber: Malaysia Gazette
Artikel Penuh: https://malaysiagazette.com/2024/08/13/mfa-bawa-beberapa-jenama-francais-ke-london/