Bernama – 3 Mac 2016
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) — Mentaliti golongan peruncit di Malaysia perlu berubah supaya mampu merebut peluang bagi mengembangkan perniagaan mereka secara lebih meluas terutamanya di pasaran ASEAN.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata mereka perlu menyedari bahawa Malaysia merupakan sebahagian daripada anggota Komuniti ASEAN yang ditubuhkan secara rasmi pada Disember lepas.
“Memandangkan ASEAN sebagai satu komuniti maka pasaran sekaligus telah berkembang daripada 30 juta (penduduk) kepada 630 juta…kita tidak mahu mentaliti kita masih mengatakan produk negara hanya untuk 30 juta (penduduk), sebenarnya kita boleh pergi sejauh (untuk menembusi pasaran) 10 negara di ASEAN,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Runcit, Francais dan Pelesenan Malaysia (MIRF) 2016 di Pusat Pameran Mid Valley di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA), Datuk Liaw Choon Liang.
Hamzah berkata perluasan pasaran di kesemua negara ASEAN boleh dilakukan atas dasar kerjasama.
Beliau berkata, dalam usaha untuk menembusi pasaran di negara ASEAN, para peruncit perlu mengambil langkah berhati-hati berikutan keadaan ekonomi semasa yang mencabar dan lembap.
“Dalam keadaan ekonomi yang lembap, kita tak patut ‘lembap’ sebaliknya bersedia…apabila ekonomi mencatatkan pemulihan, kita telah telah berada (dalam pasaran negara ASEAN) dengan produk peruncit tempatan,” katanya.
MIRF yang berlangsung selama empat hari sehingga Isnin ini menghimpunkan 250 peserta tempatan dan antarabangsa termasuk dari Singapura, Thailand, Jepun, Indonesia dan Korea Selatan.
URL : http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/bu/newsbusiness.php?id=1221576