Georgetown, 29 Jan 2023,
Penduduk Pulau Pinang kini tidak perlu berkelana jauh untuk merasai keenakan sajian di restoran makanan barat terkenal, Me’nate Steak Hub apabila restoran itu secara rasminya mula beroperasi di negeri Pulau Mutiara itu Jumaat lalu.
Lebih istimewa, cawangan baharu yang juga ke-11 Me’nate Steak Hub itu dibuka di sebuah bangunan warisan dua tingkat di tengah-tengah pusat bandar di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, sekali gus memberikan pengalaman menikmati stik dalam suasana berbeza kepada para pelangganya.
Pembukaan baharu cawangan Me’nate Steak Hub itu juga sekali gus memberi penyelesaian kepada pelanggan Muslim yang sebelum ini sukar untuk menikmati makanan stik di pusat bandar George Town yang 100 peratus halal.
Pengarah Palace Butcher Resources Sdn. Bhd. (PBRSB), Azuan Arifin berkata, hasrat untuk membuka cawangan Me’nate Steak Hub di Pulau Pinang sudah lama dirancang pihaknya memandangkan permintaan yang tinggi khususnya daripada peminat makanan stik di negeri ini.
Namun disebabkan pandemik Covid-19, jelas beliau, rancangan itu terpaksa ditangguhkan sehingga pandemik Covid-19 berakhir sebelum akhirnya Me’nate Steak Hub berjaya bertapak di Pulau Pinang secara rasmi pada 27 Januari lalu sekali gus diharapkan menjadi pembuka tirai yang cemerlang untuk tahun 2023 buat syarikat PBRSB secara keseluruhannya.
“Bagi cawangan Me’nate Steak Hub di George Town ini, konsep kedai kita ada warisan iaitu sesuai dengan status Pulau Pinang sendiri sebagai negeri warisan.
“Restoran kita di sini mampu memuatkan sehingga 240 pelanggan pada satu-satu masa dan kita turut mempunyai tiga bilik khas atau ‘VIP room’ bagi mereka yang mahu mengadakan jamuan peribadi selain ruang-ruang restoran yang luas untuk diadakan majlis sambutan tertentu seperti majlis hari lahir.
“Ruang solat berbeza dan luas untuk muslimin dan muslimat juga disediakan sebagai kemudahan kepada pelanggan Muslim khususnya sepanjang bulan Ramadan kelak,” katanya.
Beliau ditemui Utusan Malaysia pada majlis prapembukaan cawangan baharu Me’nate Steak Hub di Pulau Pinang itu semalam yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang juga Pengarah PBRSB, Syed Ashraf Syed Ali.
Dalam pada itu, ditanya berkenaan tanggapan sesetengah pihak yang menilai sajian di Me’nate Steak Hub hanya untuk golongan berada atau ‘kayangan’, Azuan berkata, andaian sedemikian tidak benar memandangkan restoran berkenaan menawarkan menu untuk semua golongan pelanggan.
Dalam masa sama, jelasnya, Me’nate Steak Hub turut menawarkan makanan barat berasaskan stik menggunakan daging premium berkualiti tinggi yang merupakan identiti atau ‘signature’ restoran tersebut.
“Bagi menu berasaskan stik ini pula, pelanggan boleh memilih jenis daging yang dimahukan di stesen daging kami yang mana setiap daging sudah diletakkan harga untuk memudahkan pelanggan menyesuaikan berdasarkan bajet mereka,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan jangka masa panjang pula, Azuan berkata, PBRSB menyasarkan untuk membuka lima lagi cawangan Me’nate Steak Hub di seluruh negara iaitu dua di Kuala Lumpur (Sunway Putra Mall dan Petaling Jaya) serta masing-masing di Kuantan, Pahang; Sungai Petani, Kedah dan Terengganu.
Malah, syarikat itu juga mengintai peluang untuk melebarkan sayap ke luar negara dengan membuka cawangan di London (United Kingdom), Cape Town (Afrika Selatan) dan Dubai yang juga dirancang dapat direalisasikan tahun ini.
Buat warga Pulau Pinang yang mahu merasai sendiri keistimewaan makanan yang ditawarkan Me’nate Steak Hub khususnya menu stik yang sering diuar-uarkan di media sosial, boleh segera berkunjung ke restoran itu Jalan Sultan Ahmad Shah di sini yang dibuka bermula pukul 11 pagi hingga 11 malam sebelum restoran tersebut menjadi fenomena dan sentiasa penuh dengan tempahan. – UTUSAN
Sumber: Utusan Malaysia
Artikel Penuh; https://www.utusan.com.my/nasional/2023/01/menate-steak-hub-penuhi-impian-citarasa-warga-pulau-pinang/