16 Jun 2022,
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan memudahkan penyertaan 15 syarikat Malaysia di Mengabuild Indonesia 2022 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menonjolkan kemampuan Malaysia dalam industri pembinaan dan bahan bangunan.
Pameran itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC) mulai 16 hingga 19 Jun. MATRADE dalam kenyataan semalam berkata, inisiatif itu adalah tepat pada masanya berikutan permintaan yang meningkat terhadap perkhidmatan pembinaan dan bahan bangunan di negara itu, didorong projek kediaman dan pelaburan dalam infrastruktur di bandar merentasi republik itu.
Pengarah Bahagian Pembinaan dan Perkhidmatan Perniagaan MATRADE, Idzham Abdul Hamid, berkata objektif utama penyertaan adalah untuk mempromosi produk dan perkhidmatan Malaysia, meneroka peluang perniagaan dan bekerjasama dengan rakan strategik Indonesia yang berpotensi dalam projek berkaitan pembinaan.
“Antara produk dan perkhidmatan yang akan ditonjolkan di Megabuild 2022 termasuk seni bina, kejuruteraan, pengurusan projek dan perkhidmatan pembinaan, pencahayaan penerbangan, penyalutan kaca dan tangki air,” katanya. – BERNAMA
Sumber: Berita Harian