5 March 2015 – Kosmo
TRANSFORMASI yang dijalankan oleh Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sedikit sebanyak telah mempertingkatkan daya saing industri francais di negara ini.
Antara inisiatif yang dijalankan oleh PNS adalah seperti pembinaan jenama francais tempatan, bengkel-bengkel, ekspo dalam dan luar negara serta pembangunan akademi.
Inisiatif tersebut selari dengan hasrat kerajaan di samping meningkatkan saingan industri francais tatkala kita berhadapan dengan saingan global. Di samping itu, kerajaan telah menetapkan satu agensi khusus bagi membantu usahawan francais dari segi pembiayaan perniagaan. Dengan penubuhan PNS, ia merupakan satu bukti yang kukuh malah menunjukkan komitmen kerajaan terhadap industri francais. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional pada 10 Januari 2012. Pelan induk tersebut merupakan inisiatif dan strategi yang bertujuan untuk merancakkan lagi usaha kerajaan dalam memperkasakan francais nasional.
Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional mempunyai tiga fasa. Fasa pertama dilaksanakan pada tahun 2012 sehingga 2014 iaitu pengukuhan industri francais.
Pada fasa kedua pula, pelan induk tersebut diadakan bertujuan untuk mewujudkan francais domestik yang dinamik dan teguh pada tahun 2015 sehingga 2016.
Kami menyasarkan industri francais di negara ini akan lebih berdikari dan kukuh. Pelan tersebut bakal bermula pada tahun 2017 sehingga 2020.
Seterusnya, kami berharap untuk menjadikan Malaysia pusat francais bagi pasaran Asia Tenggara menjelang tahun 2020.
Industri francais sedikit sebanyak telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM24.6 bilion dan dijangka terus meningkat dengan kerjasama daripada kementerian, PNS dan Persatuan Francais Malaysia (MFA).
Puas hati
Saya amat berpuas hati dengan pencapaian industri francais setakat ini, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan.
Secara tidak langsung, ia dapat membangunkan modal insan malah mempertingkatkan perniagaan francais tempatan.
Selain itu, maklum balas yang diterima daripada masyarakat Malaysia dan antarabangsa menunjukkan industri francais di negara ini semakin matang dan berkembang sejajar dengan pembangunan negara.
Didapati juga masyarakat kini semakin celik mengenai perniagaan francais disebabkan program dan pendedahan yang dijalankan oleh kementerian.
Terdapat satu program yang dikenali sebagai Francais Komuniti iaitu program melibatkan kementerian, PNS dan MFA berkongsi maklumat mengenai perniagaan francais kepada masyarakat luar bandar. Program tersebut turut mempamerkan perniagaan-perniagaan yang sedia ada di samping memperkenalkan jenama francais tempatan yang terdapat dalam pasaran.
MFA turut menganjurkan pameran francais terbesar di ASEAN pada setiap tahun yang dikenali sebagai Francais Antarabangsa Malaysia. Pada tahun ini, pameran tersebut bakal diadakan pada 12 sehingga 14 Jun 2015.
Pameran tersebut merupakan platform terbaik khususnya kepada masyarakat bagi mengenal pasti lebih lanjut perniagaan-perniagaan francais yang berpotensi tinggi.
Di samping itu, terdapat 523 jenama francais tempatan dan bilangannya semakin meningkat. Pihak kerajaan juga menerima banyak permohonan daripada syarikat-syarikat asing iaitu sebanyak 198 jenama.
Sebanyak 68 peratus merupakan perniagaan yang berdaftar dengan pihak kementerian manakala bakinya iaitu 32 peratus merupakan jenama asing.
Penerimaan jenama francais Malaysia di luar negara juga semakin meningkat iaitu sebanyak 60 jenama francais tempatan di 55 negara.
Jenama francais Malaysia dilihat mempunyai potensi besar dan secara tidak langsung ia dapat meningkatkan aliran wang serta eksport produk tempatan ke negara luar.
Kami berharap industri francais di negara ini lebih belajar untuk berdikari dan berdiri sendiri serta kurang pergantungan terhadap kerajaan dalam mengawal aktiviti-aktiviti francais.
Kementerian juga berharap lebih banyak penyertaan usahawan dalam industri francais tempatan terutama daripada pihak koperasi yang dilihat mempunyai kapasiti dan peluang yang besar untuk berkembang dalam industri ini.
Selain itu, diharapkan lebih banyak sektor khusus (niche) akan dieksplorasi oleh usahawan francaisor tempatan seperti pelancongan perubatan, ekopelancongan, produk dan perkhidmatan pematuhan syariah dan teknologi hijau.
Diharap inisiatif yang dijalankan ini dapat membantu hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan per kapita Malaysia ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi.