30 May 2014 – Malaysia Gazette
Pengendali rangkaian restoran makanan segera tempatan, Marrybrown Sdn. Bhd. terus mengukuhkan jenamanya dalam pasaran halal antarabangsa dengan pembukaan cawangan baharu di Brunei pada suku ketiga tahun 2014.
Pengurus Bahagian Francais dan Perkhidmatan, Khairul Azman Mohd. Yusof berkata, menerusi pelantikan francaisi induk di Brunei, jenama Marrybrown kini melebarkan sayap rangkaian makanannya di 17 negara dengan jumlah rangkaian sebanyak 400 buah seluruh dunia.
“Dengan penembusan pasaran di Brunei, ia melengkapkan sasaran perluasan perniagaan kami di Asia Tenggara. Menerusi kerjasama dengan francaisi induk, kami menyasarkan pembukaan lapan hingga 10 lagi cawangan restoran Marrybrown bagi lima tahun operasi di Brunei,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pejabatnya di USJ Subang di sini petang tadi.
Tambah beliau, Marrybrown menjadi pilihan pelabur francais peringkat Asia selain pelabur dari Eropah kerana konsep perniagaannya berprinsip restoran makanan halal dan suci secara menyeluruh termasuk dari segi pemprosesan, penyediaan sehingga hidangan makanan secara berkualiti dan memenuhi kepuasan maksimum pelanggannya di serata dunia.
“Bagi memastikan kualiti produk yang merangkumi lebih 35 jenis di negara ini serta pelosok dunia, bahan mentah produk makanannya telah diperakui halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
“Katanya produk yang mendapat pengiktirafan halal itu dieksport ke seluruh restoran kami di seluruh negara selain mewajibkan para pelabur mematuhi penyediaan makanan supaya halal dan menepati standard kualiti yang ditetapkan jabatan Penyelidikan dan Pembangunan.
“Lebih menarik lagi, Marrybrown turut menjadi pilihan pelanggan yang bukan beragama Islam kerana konsep Halal dan bersih yang kami tawarkan kepada para pelanggan kami di seluruh dunia,”katanya.
Penembusan Marrybrown di pasaran antarabangsa antaranya di Tanzania, Maldives, Timur Tengah, China, India dan seluruh Asia Tenggara termasuk 140 cawangan di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak sejak diwujudkan 33 tahun lalu iaitu pada tahun 1981.
Mengulas mengenai operasi syarikatnya di pasaran tempatan, Kairul berkata, Marrybrown akan terus memberi keutamaan pasaran tempatan menerusi rancangan pembukaan 30 lagi cawangan dengan sasaran lokasi Pantai Timur.
“Setakat ini kami telah membuka 12 rangkaian Marrybrown yang telah pun beroperasi kepada awam manakala 12 lagi cawangan bakal dibuka menjelang akhir tahun ini.
“Antaranya lima lokasi di negeri Terengganu, Pantai Timur iaitu di Dungun yang bakal dibuka pada 16 Jun ini selain Gong Badak (Kuala Terengganu), Kerteh, Paka, Kemaman dan Pulau Langkawi (Kedah) serta sebuah lagi di Bukit Mertajam di Pusat membeli belah Mydin. Selebih enam lagi lokasi masih dalam perbincangan,”katanya.
Selain itu, katanya Marrybrown akan menandatangani perjanjian francais dengan rakan francaisi induknya dari Darussalam, Brunei pada Pameran dan Persidangan Francais Ke- 21 yang akan berlangsung pada 13 hingga 15 Jun ini bagi terus mengukuhkan penembusan pasaran antarabangsa ke tahap tinggi.
Bagaimanapun beliau enggan mengulas mengenai jumlah nilai yang akan dilaburkan tetapi menjangka pelaburan kewangan antara RM400,000 hingga RM800,000 terhadap setiap francais yang dibuka.
Namun, kata beliau pihaknya telah mencatat pertumbuhan jualan antara 21 hingga 24 peratus pada tahun 2013. – MalaysiaGazette.