2 Jun 2014 – Sinar Harian
RANGKAIAN restoran makanan segera, Marrybrown Sdn Bhd menyasarkan akan membuka 30 cawangan di seluruh negara dan 60 cawangan di beberapa negara luar menjelang suku kedua tahun depan.
Pengurus Bahagian Francais dan Perkhidmatannya, Kairul Azman Mohd Yusof berkata, syarikatnya kini telah mengenal pasti 24 lokasi di Malaysia dan 12 daripadanya telah dibuka, antaranya di KLIA2 dan Parit Buntar; Perak serta Bukit Mertajam; Pulau Pinang.
Menurutnya, Marrybrown akan memfokuskan bagi membuka beberapa cawangan baharu di Pantai Timur iaitu di Dungun, Gong Badak, Kerteh, Paka, Kemaman dan Kuantan yang dijangka dibuka menjelang Ogos nanti.
“Marrybrown sedang melihat enam lokasi yang bersesuaian untuk dijadikan cawangan baharunya.
“Setakat ini kami mempunyai 140 cawangan di Malaysia. Bagi pembukaan cawangan Marrybrown di luar negara pula, kami merancang untuk membuka di Brunei dan ia merupakan cawangan ke-400 Marrybrown yang dijangka akan beroperasi pada Oktober depan,” katanya dalam satu sesi temu bual bersama media di Subang Jaya.
Kairul Azman berkata, syarikat itu juga menyasarkan akan membuka lapan hingga tujuh cawangan di Brunei dalam masa lima tahun akan datang kerana melihat potensi demografi dan permintaan di negara itu.
Katanya, pemilihan lokasi cawangannya yang baharu terutamanya di luar negara dinilai melalui kepadatan penduduk dan keadaan geografinya.
Utamakan aspek halal
Kairul Azman berkata, Marrybrown ialah restoran makanan tempatan yang mengutamakan aspek halal meliputi bahan mentah, proses penyediaan menu dan kemudahan digunakan serta keadaan lokasi pemprosesan bahan mentah dari pembekal.
“Kami mempunyai penasihat kualiti dalaman dan seorang wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang akan memastikan segala dokumen diperlukan mematuhi syarat diwajibkan Jakim untuk memperolehi sijil halal yang sah,” katanya.
Beliau berkata, syarikat itu juga akan memastikan setiap francais Marrybrown di seluruh Malaysia dan luar negara mematuhi syarat diwajibkan Jakim.
Setakat ini, Marrybrown berjaya menembusi pasaran 16 negara seperti Emiriyah Arab Bersatu, Maldives, China, Indonesia, Sri Lanka, Myanmar, Arab Saudi, India, Qatar dan Bahrain.
GST tidak beri impak besar
Ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST), Kairul Azman berkata, syarikatnya menyambut baik pelaksanaan itu.
Katanya, syarikatnya bersedia untuk melaksanakan GST dan telah menghantar kakitangannya untuk mengikuti kursus serta seminar yang dianjurkan agensi kerajaan.
“Kami akan memastikan cara yang terbaik dengan pelaksanaan GST, antaranya mengurangkan kos dan berbincang dengan pembekal supaya tidak perlu menaikkan harga,” katanya.
Marrybrown kini mempunyai hampir 60 menu dengan hidangan seperti ayam goreng, nasi, bubur dan mi kari.