UTUSAN – 20 FEBRUARI 2016
KUALA LUMPUR 19 Feb. – Pengendali rangkaian restoran makanan segera tempatan, Marrybrown Sdn. Bhd. menyasarkan untuk membuka sebanyak 19 buah cawangan baharu di seluruh negara pada tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown, Datuk Joshua Liew berkata, walaupun dalam keadaan semasa ekonomi negara, Marrybrown berjaya membuka sebanyak enam cawangan baharu di Johor, Perak dan Labuan pada Januari sahaja daripada sasaran asal sebanyak 25 cawangan setahun.
Menurut beliau, cawangan baharu yang bakal dibuka akan difokuskan di kawasan Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu kerana kelebihan Marrybrown sendiri dengan menawarkan produk halal dan harga yang berpatutan di semua 450 buah cawangannya di seluruh dunia.
“Marrybrown sekarang berada di tempat ketiga sebagai pengendali utama makanan segera di negara ini dengan kira-kira 20 hingga 30 peratus penguasaan pasaran. Kita berharap dapat mengusai pasaran sehingga 40 peratus menjelang 2020,” katanya ketika ditemui dalam program jalinan kerjasama antara Marrybrown dan Coca-Cola di sini hari ini.
Katanya, Marrybrown telah berjaya mencapai pertumbuhan dua digit dari segi penjualan selama enam tahun berturut-turut dan dijangka akan terus berkembang serta mengekalkan prestasi tersebut pada tahun ini susulan pelbagai usahasama yang diadakan.
“Bagi membuka cawangan baharu, yuran francais yang dikenakan adalah sebanyak RM120,000 untuk tempoh 8 tahun. Daripada jumlah itu, kita memerlukan penambahan kira-kira RM600,000 hingga RM800,000 bagi pembinaan keseluruhan dengan jangkaan pulangan pelaburan dalam masa 3 hingga 4 tahun bergantung kepada saiz dan lokasi.
“Marrybrown sekarang berada di tempat ketiga sebagai pengendali utama makanan segera di negara ini dengan kira-kira 20 hingga 30 peratus penguasaan pasaran. Kita berharap dapat mengusai pasaran sehingga 40 peratus menjelang 2020,” katanya ketika ditemui dalam program jalinan kerjasama antara Marrybrown dan Coca-Cola di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan Pembotolan Singapura Malaysia Brunei, Stephen Lusk dan Pengasas dan Pengarah Urusan Marrybrown, Nancy Liew.
Pada majlis itu, Marrybrown menandatangani kerjasama dengan Coca-Cola yang akan membekalkan minuman fountain Coca-Cola, Coca-Cola Zero, Fanta Strawberry, Sprite, Heaven and Earth Ice Lemon Tea dan Minute Maid Orange dalam menu baharu di semua cawangannya di seluruh negara.=
Tambah Liew, gandingan usahasama selama 5 tahun tersebut diadakan bagi membantu mempercepatkan pengembangan kedua-dua syarikat itu dalam usaha menguasai rangkaian pasaran makanan segera tempatan.
“Coca-Cola menawarkan 100 peratus produk halal dan merupakan sebuah syarikat unggul dalam semua aspek perniagaan minuman dengan produknya yang terkenal di seluruh dunia serta mempunyai kepakaran dalam aspek pemasaran,” katanya.
URL : http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/marrybrown-sasar-buka-19-cawangan-baharu-1.192363#sthash.tOsiwNIC.dpuf