7 Julai 2014 – Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 6 Julai – Pengendali rangkaian restoran makanan segera tempatan, Marrybrown Sdn. Bhd., terus mengukuhkan jenama di pasaran halal antarabangsa dengan pembukaan cawangan produk itu di Brunei pada September ini.
Pengurus Bahagian Francais dan Perkhidmatan, Kairul Azman Mohd. Yusof berkata, dengan pelantikan francaisi induk di negara itu, jenama Marrybrown kini berada di 17 negara dengan jumlah rangkaian sebanyak 400 buah di seluruh dunia.
Katanya, Marrybrown menjadi pilihan pelabur francais kerana konsep perniagaan restoran makanan halal secara menyeluruh termasuk dari segi pemprosesan dan penyediaan sehingga hidangan makanan.
“Dengan penembusan pasaran Brunei, ia melengkapkan sasaran peluasan perniagaan kami di Asia Tenggara.
“Menerusi kerjasama dengan francaisi induk, kami menyasarkan pembukaan lapan hingga sepuluh cawangan dalam jangka masa lima tahun beroperasi di Brunei,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di USJ Subang dekat sini baru-baru ini.
Antara pasaran antarabangsa yang telah ditembusi Marrybrown ialah Tanzania, Maldives, Asia Barat, China, India dan seluruh Asia Tenggara selain 140 cawangan di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Mengulas mengenai operasi syarikatnya di pasaran tempatan, Kairul Azman berkata, Marrybrown akan membuka 30 lagi cawangan menjelang suku kedua tahun depan.
Jelasnya, 24 lokasi telah dikenal pasti dan 12 daripadanya telah pun dibuka dan antara lokasi tersebut ialah Dungun, Gong Badak, Kerteh, Paka dan Kemaman di Terengganu serta Langkawi di Kedah.
“Tahun ini syarikat akan memberi tumpuan kepada kawasan di Pantai Timur kerana permintaan yang memberangsangkan di kawasan terbabit.
“Bagi cawangan di luar negara pula, kami sasarkan untuk membuka 60 cawangan baharu pada tahun ini yang akan dibuka oleh pemilik francais induk kami,” katanya.
Ketika ditanya mengenai persiapan untuk menghadapi cukai barangan dan perkhidmatan (GST ) pada April 2015, Kairul Azman berkata, GST akan memberi kesan kepada perniagaan, namun pihaknya akan bekerjasama dengan pembekal supaya dapat memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan.
“Harga makanan kami akan dikekalkan walaupun selepas GST dilaksanakan. Jadi pelanggan masih menikmati harga yang sama serta ditambah dengan GST,” ujarnya.
Syarikat makanan segera tempatan tersebut kini merupakan yang ketiga terbesar di negara ini dari segi cawangan, berada di belakang dua syarikat makanan segera terkenal dari Amerika Syarikat (AS).
Tambahnya, Marrybrown mencatatkan pertumbuhan perolehan dua digit sejak tiga tahun lalu iaitu antara 20 hingga 24 peratus.
Habis.