Bangkok, 13 Julai 2024,
Malaysia bersedia berkongsi pengalaman dengan Thailand mengenai kawal selia perdagangan dalam industri francais, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.
Ewon berkata selaku Menteri yang bertanggungjawab ke atas francais, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersedia untuk berkongsi pengalaman khususnya dari segi perundangan dalam sektor francais.
“Saya berpeluang berbincang dengan rakan sejawat Menteri Perdagangan Thailand Phumtham Vejjayachai dan dimaklumkan bahawa di Thailand tiada perundangan khusus atau ‘governing law’ untuk sektor francais.
“Oleh itu, saya telah memberitahu Phumtham bahawa Malaysia mempunyai perundangan iaitu Akta Francais 1998 untuk mengawal selia industri francais dan kami bersedia berkongsi pengalaman sekiranya diperlukan,” katanya kepada Bernama di
sini Sabtu.
Ewon yang mengetuai delegasi Malaysia ke Misi Perdagangan Francais Antarabangsa di Bangkok sejak Khamis berkata dalam pertemuannya bersama Phumtham bahawa mereka telah membincangkan peluang kerjasama perdagangan dalam sektor francais dan pembangunan usahawan kecil dan sederhana.
“Kami berdua setuju bahawa jabatan dan agensi di bawah kementerian perlu menyusuli perbincangan ini dengan kerjasama B2B (busines-to-business).
“Saya juga amat mengalu-alukan kerjasama di antara Malaysia Franchise Association (MFA) dan Francise and Licensing Association of Thailand bagi membangunkan sektor francais di kedua-dua negara,” katanya.
Ewon berkata beliau yakin KUSKOP akan berjaya mencapai sasaran pelaburan bernilai RM30 juta sempena Thailand Franchise Business Opportunities Expo (TFBO) 2024 di Bangkok International Trade & Convention Centre (BITEC).
Sebanyak tujuh syarikat jenama Malaysia terdiri daripada sektor makanan, pendidikan, teknologi dan perkhidmatan telah menyertai misi ini di TFBO 2024.
“Saya berpendapat misi perdagangan ini merupakan satu misi yang berjaya kerana rata-rata syarikat yang menyertai telah menyatakan penghargaan mereka kepada kerajaan dan kementerian kerana menyediakan platform ini sebagai lembaran baharu untuk mereka memperkenalkan produk dan perkhidmatan selain memberi peluang untuk mencari rakan dagang baharu,” katanya.
Dalam misi lawatan itu, Ewon juga mengadakan pertemuan bersama pihak industri, diaspora Malaysia dan Malawakil Malaysia di Bangkok, Thailand selain lawatan kerja ke syarikat francais Cafe Amazon milik syarikat Thailand serta ke Laundrybar, syarikat
francais Malaysia yang telah beroperasi di Thailand.
Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA) Datuk Dr Radzali Hassan dan Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd (PERNAS) Datuk Hazimah Zainuddin turut menyertai Misi Perdagangan Francais Antarabangsa selama empat hari di Bangkok.
Sumber: Bernama
Artikel Penuh: https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2317139